KUALA LUMPUR – Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri (JPM) tidak pernah membelanjakan sebanyak RM2 bilion bagi tujuan menyiapkan buku Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) seperti yang didakwa oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perancangan pembangunan negara untuk lima tahun itu disediakan oleh pegawai UPE JPM di bawah seliaannya.
Mustapha memberitahu, perancangan itu juga hasil input daripada libat urus dengan pelbagai pihak.
“Penyediaan RMK12 melibatkan kos amat kecil untuk sesi libat urus, cetakan dan perunding media.
“Saya berharap Anwar dapat memperbetulkan kenyataan beliau bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap pegawai UPE JPM dan kerajaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sidang Dewan Rakyat diberitahu oleh Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson bahawa sebanyak RM2 bilion diberikan kepada konsultan luar negara untuk menyiapkan buku RMK12 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin.
Terdahulu, Anwar mendakwa kerajaan membelanjakan lebih RM2 bilion untuk menyiapkan buku RMK12 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata, peruntukan tersebut diberikan kepada kepada konsultan luar negara.