Bank Muamalat Tawar Modal Kerja, Latihan Percuma Menerusi iTEKAD Mawaddah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bank Muamalat Malaysia Bhd menyediakan modal kerja sehingga RM10,000 dan latihan secara percuma menerusi program iTEKAD Mawaddah.

Sebagai perintis, seramai 10 usahawan menyertai program keusahawanan yang bercirikan kewangan sosial dan konsep syariah mudarabah.

Menerusi program itu, Bank Muamalat menyediakan platform pelaburan patuh syariah bertujuan memberikan pulangan yang kompetitif kepada pelabur.

“Usahawan yang menyertai program iTEKAD Mawaddah, berlandaskan konsep mudarabah, akan menerima dana daripada pelabur untuk menjalankan perniagaan mereka. Keuntungan dan kerugian (jika ada) yang dijana akan dikongsi di antara usahawan dan pelabur.

“Program iTEKAD Mawaddah akan menyediakan modal kerja sehingga RM10,000 dan latihan perniagaan secara percuma untuk setiap usahawan daripada golongan asnaf dan B40 yang terpilih,” demikian menurut Bank Muamalat dalam satu kenyataan hari ini.

Penyerahan sijil yang berlangsung secara norma baharu itu, disertai 10 usahawan dari sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Kedah dan Johor.

Ia disaksikan oleh Ketua Pegawai Strategi Bank Muamalat, Mohammad Fairuz Mohd Radi dan pihak pengurusan kanan Bank Muamalat serta wakil daripada perunding latihan yang dilantik iaitu People Systems Consultancy Sdn Bhd dan Serunai COE Sdn Bhd.

Bank Muamalat berkata, inisiatif yang diterajui oleh Bank Muamalat itu bertujuan menyokong usaha Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membantu usahawan daripada golongan asnaf dan B40 menceburi bidang perniagaan atau memajukan perniagaan.

Katanya, program iTEKAD Mawaddah turut terbuka kepada usahawan daripada kumpulan sasar ini yang terkesan oleh pandemik COVID-19.

“Bank Muamalat telah berjaya meraih dana yang diperlukan untuk membantu 10 orang usahawan yang terpilih dengan dana yang diterima daripada pelabur akan dijadikan modal kerja oleh usahawan.

“Bidang perniagaan yang dipilih untuk fasa pertama adalah industri makanan dan minuman. Mereka juga akan menerima latihan keusahawanan yang bersesuaian daripada jurulatih perunding yang berpengalaman.

“Sekiranya layak, peniaga akan turut dibantu untuk mendapatkan sijil halal bagi membolehkan mereka bersaing secara kompetitif di peringkat global,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin, berkata bantuan berterusan wajar disalurkan kepada golongan usahawan bagi menyokong pemulihan ekonomi, terutamanya ketika negara terus diancam pandemik COVID-19.

“Matlamat program iTEKAD Mawaddah adalah untuk memberi manfaat kepada masyarakat tempatan dan memperkasa golongan asnaf dan B40, selaras dengan inisiatif Pengantaraan Berasaskan Nilai atau Value Based Intermediary (VBI) yang didukung oleh Bank Muamalat.

“Program ini juga mendapat sokongan daripada Lembaga Zakat Selangor, Pusat Pungutan Zakat MAIWP, dan agensi zakat negeri lain,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,581FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat