Najib cadang laksana semula GST untuk dipulangkan kepada rakyat B40, M40

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dicadangkan perlu dilaksanakan semula secepat mungkin apabila negara pulih daripada COVID-19.

Syor itu dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak.

Tegas Najib, kerajaan perlu meneruskan strategi-strategi dan langkah-langkah utama yang telah terbukti berjaya – iaitu menaikkan pendapatan dan bantuan Rakyat B40 dan M40, memastikan pertumbuhan ekonomi negara setiap tahun adalah mantap serta sistem percukaian dan subsidi yang lebih adil dan telus.

Ujar beliau pengembalian semula GST itu dengan tujuan mencapai matlamat mengurangkan jurang pendapatan, matlamat menarik pelaburan dan mengukuhkan kekuatan fiskal kerajaan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, hasutan- hasutan bermotif politik yang membawa kepada pemansuhan sistem cukai GST, telah menghalang hasrat rancangan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu untuk terus mengurangkan kadar cukai korporat Malaysia secara berperingkat-peringkat sehingga ke 17 peratus agar kita lebih kompetitif berbanding negara-negara jiran.

“Malangnya, negara-negara jiran kita yang kesemuanya melaksanakan cukai GST telah berjaya menurunkan cukai korporat mereka ke paras lebih rendah daripada negara kita, menjadikan Malaysia sebuah negara dengan cukai perniagaan paling tinggi di ASEAN.

“Seperti sedia maklum, sistem percukaian GST adalah lebih saksama dan progresif. Semakin banyak yang kita belanja, semakin banyak yang kita bayar.

“Hasil daripada cukai GST ini mampu memberi ruang kepada kerajaan untuk mengurangkan cukai korporat dan cukai pendapatan peribadi,” kata Najib.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perbahasan pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK 12) pada Selasa.

Beliau turut memberitahu antara pertimbangan utama bagi pelabur asing ketika memilih destinasi pelaburan negara untuk membuat pelaburan iaitu saiz pasaran domestik; infrastruktur negara dan kadar cukai korporat.

Kata Najib, dari segi infrastruktur negara, Malaysia masih mantap dengan projek-projek infra-rakyat yang masih berjalan dan semakin hampir selesai yang akan memastikan kelebihan infrastruktur negara terjamin.

“Tetapi adakah pelabur-pelabur asing ini memilih Malaysia memandangkan saiz pasaran domestik kita yang lebih kecil tetapi pada masa yang sama cukai korporat kita pula tertinggi di kalangan negara-negara ASEAN ketika ini.

“Akibat faktor ini, syarikat-syarikat Malaysia pula mungkin lebih tertarik untuk melabur di negara jiran berbanding di dalam negara sendiri.

“Selain memberi ruang untuk menurunkan cukai korporat dan cukai peribadi, sistem GST yang dipadankan dengan pakej bantuan rakyat sebenarnya memainkan peranan yang amat penting untuk mengurangkan jurang pendapatan.

“Ini berlawanan dengan propaganda yang telah menyebabkan sebahagian daripada rakyat termakan hasutan kononnya GST lebih memangsakan pendapatan rendah dan menyebabkan kenaikan harga barang-barangan,” ujar beliau.

Hakikatnya Najib berkata, adalah sebaliknya GST menyumbang kepada fiskal kerajaan dan lebihan pendapatan hasil kerajaan itu dipulangkan kepada rakyat terutama sekali golongan B40 dan M40.

Di samping itu kata beliau, apabila hasil negara meningkat saya berkemampuan untuk mengumumkan satu Kenaikan Gaji Tahunan Khas (KGTK) untuk semua penjawat awam pada tahun 2018 bererti pada tahun itu sepatutnya penjawat awam menerima dua kali kenaikan gaji tahunan.

“Setelah 3 tahun dimansuhkan, persepsi sebahagian rakyat bahawa GST merupakan punca utama kenaikan harga barang terbukti tidak benar dan meleset sama sekali apabila harga barangan asas naik lagi ketara setelah SST menggantikan GST.

“Perlu disedari GST adalah cukai penggunaan ataupun “consumption tax”. Lagi tinggi perbelanjaan seseorang, lagi tinggi jumlah bayaran GST.

“Golongan kaya dan berkemampuan yang akan berbelanja lebih, akan membayar lebih GST.

“GST juga akan mensasarkan ekonomi gelap dengan saiznya sebesar RM300 bilion setahun yang sebelum ini terlepas dari membayar apa-apa cukai. Dengan GST, saiz ekonomi gelap dapat dikuncupkan, yakni dianggarkan dari 25 peratus KDNK kepada 10 peratus,” jelas beliau.

Dengan ini menurut Najib, kutipan-kutipan hasil GST ini mampu diagihkan kepada golongan B40 dan M40 dalam bentuk bantuan tunai rakyat yang jauh lebih besar berbanding nilai GST yang dibayar mereka.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat