KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan bahawa kerajaan akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kebencian antara agama dan kaum di negara ini.
Anwar berkata beliau percaya kepada amalan demokrasi dan kebebasan, namun perlu ada batasnya terutama di Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum serta agama.
“Jika anda mencipta, menyebar atau menghasut kebencian terhadap mana-mana kaum atau agama, kita akan bertindak tegas terhadap anda.
“Perbuatan ini boleh menghancurkan asas perpaduan negara ini,” katanya ketika berucap pada Persidangan Ketua-Ketua Agama Sedunia Kali Kedua, pada Khamis.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim (MWL), Sheikh Dr Mohammed Abdulkarim Al-Issa.
Perdana Menteri berkata lagi, ketika mendapat maklumat mengenai perselisihan antara Thailand dan Kemboja pada bulan lalu, sehingga negara berjiran itu mula berbalas tembakan, Malaysia sebagai sahabat baik kepada kedua-dua negara berusaha menjadi perantara untuk menyelesaikan konflik itu.
“Kita segera menghubungi, merayu dan membawa mereka ke sini. (Kita katakan) mari kita berbincang segera, kita tidak berminat dengan konflik.
“Alhamdulillah, kami berjaya mengekalkan keamanan dengan cepat,” katanya.



