Mungkin RUU URA ada kelemahan, kemuka syor tambah baik bukan tuduh kerajaan nak rampas – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui kemungkinan wujud beberapa kelemahan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) 2025, namun ia bukanlah alasan untuk pihak tertentu membantahnya.

Kata Anwar, pihak berkenaan sebaliknya perlu mengemukakan syor untuk penambahbaikan RUU URA 2025, bukannya membuat dakwaan kononnya kerajaan mahu merampas rumah didiami rakyat bagi memberi laluan kepada pembangunan semula.

“Soal nilai ambang (yang menjadi antara pertikaian dalam RUU berkenaan) boleh dibincangkan masa perbahasan, tetapi saya mahu sebut pengalaman peribadi dan saya percaya Yang Berhormat boleh lihat seperti rumah Sri Perlis di sini, (dilengkapi) satu bilik, teruk benar.

“Jika ada cadangan lain (untuk tambah baik RUU URA 2025), kemukakan tetapi jangan (dakwa) seolah-olah mahu rampas (rumah). Rampas apa… saya pergi tengok rumah sebilik (didiami) dua keluarga dengan satu daripadanya ada enam anak.

“Tanggungjawab kita mencari kaedah membangunkan semula (rumah) dengan tiga bilik minimum untuk satu keluarga. Ya mungkin ada beberapa kelemahan, tetapi kita cuba betulkan. Namun, (bukan) hanya menyerang tanpa (syor penambahbaikan),” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai rasional nilai ambang dalam RUU URA 2025 untuk pembangunan semula bandar pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memberi jaminan akan menyokong pandangan bagi penambahbaikan RUU URA 2025, namun ia perlu dibuat mengikut saluran betul memandangkan negara perlu ada perundangan khusus bagi pembangunan semula bandar sedia ada,”

“Kerajaan wajar diberi ruang untuk membangunkan semula bandar sedia ada kerana kita tidak boleh membenarkan rakyat merempat biarpun negara memiliki Menara Berkembar Petronas.

“Kalau perlu, kita pinda (nilai ambang dalam RUU URA 2025). Jangan kita buat andaian ini strategi (untuk golongan) Cina rampas hak masyarakat Melayu, saya tidak setuju (untuk keadaan terbabit berlaku).

“Saya bukan boneka, saya duduk di sini (dilantik sebagai Perdana Menteri) terima mandat, pertahankan Melayu dan Bumiputera yang majoriti (di negara ini) serta hak asasi (mereka),” katanya memetik BH.

Anwar berkata lagi, isu perumahan rakyat sangat dekat dengan beliau, selain mengakui kerajaan tidak boleh mengetepikannya terutama apabila negara mencatatkan pertumbuhan ekonomi menggalakkan.

“Berapa lama rumah di Sri Perlis.. 60 tahun. JKR (Jabatan Kerja Raya) kata boleh tahan 70 tahun, tetapi pergi tengoklah. Pergi tengok di Bandar Tun Razak, Cheras (dan) Kampung Kerinchi, Pantai Dalam.

“Kampung Kerinchi saya ingat kerana saya yang bangunkan semasa menjadi Menteri Kewangan dahulu. Daif, memang ada masalah ketika itu. Gunakan tindakan agak keras untuk memaksa, tetapi sekarang guna jalur perundangan lebih teliti.

“Pembangunan di Sungai Besi sekarang yang kita ambil alih, selain projek dijalankan pada Fasa I, keutamaannya tentu untuk veteran Tentera Udara Diraja Malaysia.

“Mereka bertungkus lumus puluhan tahun, jadi kita beri keutamaan kepada mereka. Ini dikendalikan syarikat khas yang kita pantau melalui syarikat milik Petronas dan kerajaan,” katanya.

Terdahulu, Anwar ketika menjawab soalan asal berkata, 197,311 unit rumah mampu milik (RMM) siap dibina sehingga Jun lalu, selain memaklumkan angka itu jauh daripada sasaran ditetapkan pada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menerusi penekanan baharu, katanya, tambahan 21,7371 unit atau 43.5 peratus kini di peringkat pembinaan, manakala 79,192 unit atau 15 peratus sudah meraih kelulusan merancang, menjadikan jumlah RMM siap dan berada di pelbagai peringkat pelaksanaan ialah 493,874 unit atau 98.8 peratus daripada sasaran.

“Maknanya ini boleh dilakukan jika beri tumpuan bersama kerajaan negeri dan kerajaan tempatan. Baki 6,126 unit RMM insya-Allah dapat disiapkan.

“RMM selain ada juga kaedah ‘rent-to-own’ dan ‘transit oriented development’ serta beberapa projek baharu seperti Kota Madani dilancarkan di Putrajaya, diikuti di Cheras, Kuala Lumpur.

“Jika di Putrajaya 90 peratus daripada 10,000 unit, masing-masing 3,000 unit bagi Fasa I dan 7,000 Fasa II untuk penjawat awam kerana mereka menunggu kesempatan rumah mampu milik yang terlalu tinggi,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat