KUALA LUMPUR — Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan menegaskan bahawa kestabilan politik merupakan faktor utama dalam menentukan masa depan Sabah serta menyelesaikan isu asas rakyat di negeri itu.
Dalam Podcast Jam Kesebelas terbitan Suara TV, beliau berkata tanpa kestabilan politik, segala perancangan pembangunan negeri akan gagal mencapai matlamatnya.
“Kalau kita mahu selesaikan masalah asas rakyat Sabah, kita perlu wujudkan political stability dahulu. Tanpa kestabilan, apa sahaja pelan tidak akan berjaya.
“Masalah air, elektrik, kemiskinan dan pembangunan luar bandar tidak mungkin selesai sekiranya kerajaan kerap bertukar ganti. Inilah realiti politik Sabah.
“Politik Sabah perlu dipandu dengan kewarasan dan kasih sayang, bukan konfrontasi.
“Setiap keputusan mesti dibuat dengan kebijaksanaan dan kewarasan.
“Konfrontasi tidak membawa kebaikan, tetapi persaudaraan membawa manfaat untuk semua,” katanya.
Khairul turut menegaskan bahawa kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah membuktikan komitmen kepada rakyat melalui dasar-dasar baharu.
“Tidak pernah dalam sejarah negeri Sabah, rakyat diberi rumah percuma. Melalui pelan Sabah Maju Jaya, kita berjaya melaksanakannya.
“Rumah Mesra SMJ ini bukti hasil minyak dan gas negeri dikembalikan kepada rakyat,” tambah beliau.
Beliau turut menolak dakwaan kononnya GRS hanya proksi kepada kerajaan pusat.
“Kerjasama dengan Pakatan Harapan adalah semata-mata untuk memastikan kerajaan negeri kekal stabil.
“Langkah Kinabalu 2022 membuktikan kerjasama strategik dengan Persekutuan adalah perlu demi kelangsungan,” tegasnya.
Melalui portfolio kementerian, beliau menyatakan sektor pelancongan mencatat pertumbuhan positif dengan peningkatan kedatangan pelancong asing sehingga 30 peratus pada Julai 2025.
“Kredit perlu diberi kepada Tourism Malaysia kerana berjaya memahami cita rasa pelancong.
“Kemasukan pelancong bukan sahaja dari China, tetapi juga India, Eropah dan Amerika,” tambahnya.
Ditanya mengenai perkembangan industri inap desa, beliau turut menekankan potensi industri inap desa yang kini menjadi tarikan utama pelancong luar untuk datang ke Malaysia.
“Pelancong kini mahu pengalaman back to nature, inap desa jadi kekuatan kita.
“Jika rangkaian antarabangsa diperkukuh, homestay boleh beri limpahan ekonomi besar kepada rakyat,”ujarnya.
Selain itu, menyentuh isu hak negeri di bawah MA63, beliau menegaskan dominasi parti lokal Sabah masih kukuh.
“GRS akan bertanding lebih 40 kerusi, membuktikan parti lokal kekal dominan.
“Namun keadilan dengan rakan kerjasama mesti dijaga agar hubungan negeri–pusat lancar,” jelasnya.
Menutup sesi podcast Jam Kesebelas, ditanya adakah beliau berdepan dengan dilema dengan dasar kerajaan pusat di Putrajaya dan kepentingan negeri Sabah, ini jawab beliau.
“Kalau kita ada tiga anak, tidak mungkin kita memilih kasih. Sabah dan Malaysia sama penting.
“Yang penting ialah kebijaksanaan dan niat yang betul untuk membawa kebaikan,” tambahnya.



