Agong dan Permaisuri Ucap Tahniah Kepada Aaron-Wooi Yik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik atas kejayaan melakar sejarah menjadi pemain pertama negara muncul juara di Kejohanan Badminton Dunia.

Turut menzahirkan ucapan tahniah ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan tersebut yang sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” demikian menurut catatan di laman Facebook rasmi Istana Negara, hari ini.

Aaron dan Wooi Yik menamatkan penantian 45 tahun Malaysia untuk meraih gelaran sulung di pentas Kejohanan Dunia selepas pasangan beregu nombor enam dunia itu mengalahkan gandingan dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra, 21-19,21-14, pada aksi final di Gimnasium Metropolitan Tokyo, Jepun, hari ini.

Menurut catatan berkenaan, pencapaian cemerlang Aaron dan Wooi Yik membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet berkualiti dan bertaraf antarabangsa.

“Ia juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia,” menurut catatan tersebut.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan harapan semoga pencapaian itu membakar semangat Aaron dan Wooi Yik untuk terus berlatih dan bekerja keras bagi menghadapi kejohanan-kejohanan mendatang serta menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Seri Paduka berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Aaron dan Wooi Yik dan mendoakan semoga mereka dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan,” demikian menurut catatan itu. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat