Klasifikasi Kertas Siasatan 1MDB Sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) Dibuat Secara Kolektif Bukan Peribadi – Apandi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tindakan mengklasifikasikan kertas siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) bukan diputuskan secara peribadi kata, bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Sebaliknya tegas Apandi, keputusan itu diambil secara kolektif oleh pasukan petugas di Pejabat Peguam Negara (AGC) ketika itu.

Jelas Apandi, pasukan petugas berkenaan dianggotai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Mesti ada alasan untuk perkara itu diklasifikasikan sebagai NFA, namun tanpa kertas siasatan dan minit, saya tidak ingat alasannya kerana semua itu berlaku lapan tahun lalu.

“Apa yang saya ingat ialah untuk meneliti kertas siasatan, kami di AGC mempunyai pasukan petugas.

“Apa juga keputusan yang dibuat, ia adalah keputusan kolektif pasukan petugas,” katanya lapor BH pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keterangan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi, semalam.

Zeti dilaporkan berkata, walaupun banyak bukti dikumpul dan direkodkan BNM mengenai penyelewengan dalam 1MDB, Peguam Negara (pada waktu itu) memutuskan kertas siasatan diklasifikasikan sebagai NFA.

Apandi yang memegang jawatan Peguam Negara pada waktu itu, membuat keputusan berkenaan pada 11 September 2015 atas sebab yang tidak diketahui.

Sementara itu, Apandi berkata, di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara mempunyai kuasa untuk berbuat demikian iaitu mengklasifikasikan kes sebagai NFA sekiranya wujud alasan yang kukuh.

“Bagaimanapun, bagi memastikan perkara itu diperhalusi secara telus, saya mengambil tindakan untuk membuat keputusan secara kolektif,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat