Syed Saddiq, MUDA gerak solo kerana bermaruah bukan ‘koyak’ – KJ

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pendirian dan keputusan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk tidak terus menanti ‘buah tak gugur’ daripada Pakatan Harapan (PH) adalah satu tindakan tepat dan bermaruah.

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar malah menyatakan adalah tidak wajar Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abddul Rahman dicemuh dan dilabel sebagai ‘koyak’ atau berhati ’tisu’ sedangkan tindakan yang dipilihnya untuk MUDA bergerak solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang adalah kerana maruah atas layanan buruk PH terhadap beliau dan parti dinaunginya.

“Ini bukan soal koyak atau tisu tapi ini soal kepercayaan, setia kawan. Kalau kita dah nampak bahawa orang itu tak nak terima kita dan asyik ‘bantai’ kita, bukan soal kita koyak , bukan soal kita tak ada kekuatan untuk menghadapinya tetapi kenapa kita nak buang masa dengan orang macam itu?

“Saya tak rasa Saddiq menangis dibucu katil bila dia baca Twitter, saya rasa dia kena buat pendirian sebab dia nak tengok kepada nilai setia kawan perjuangan saya tak rasa dia berada di bucu katil,” kata Khairy dalam siaran podcast Keluar Sekejap pada Rabu.

Selain itu, Khairy juga mengucapkan selamat maju jaya buat Syed Saddiq dan MUDA kerana memilih langkah berani ini.

“Sebagai orang politik lebih tua daripada Saddiq dan MUDA, saya harap anda semua banyak bersabar sebab bila buat keputusan seperti ini.

“Untuk jangka masa panjang saya rasa walaupun keputusan ini berani dan keputusan ini menunjukkan bahawa MUDA sudah capai tahap matang tapi MUDA akan melalui zaman yang susah sebelum mencapai zaman kegemilangan. Kalau lalui zaman susah, PRN akan datang keputusannya tidak seperti mana yang dijangkakan saya harap anda semua tak berputus asa.

“Sebab bila nak mengorak langkah sendiri ini akan mengambil masa, kena kuatkan diri terhadap apa saja cemuhan akan datang apabila keputusan itu tidak memihak kepada anda.

“Saya agak bersimpati dengan MUDA sebab apabila membuat keputusan dan pengumuman untuk keluar daripada persefahaman yang mereka ada dengan PH maka mereka telah menjadi mangsa penyokong-penyokong dan juga laskar siber PH yang telah meratah habis Syed Saddiq dan juga rakan-rakan beliau dalam MUDA dengan cemuhan dan kritikan,” kata Khairy.

Bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan juga menzahirkan pendapat sama dengan Khairy.

“MUDA dilayan begitu buruk oleh PH dan kalau Saddiq masih bersama PH memang nampak sangat tak ada maruah.

“Saya secara peribadinya menyokong pendirian MUDA meninggalkan PH setelah permohonan mereka tidak dilayan.

“MUDA seolah-olah mohon kerakyatan daripada PH namun tidak diterima. Maka MUDA ibarat pelarian dalam PH kerana permohonan kerakyatan ditolak,” katanya.

Selain itu, Shahril juga menyatakan inilah masanya untuk MUDA buktikan teori yang sebelum ini bahawa parti ketiga tidak akan pernah cukup untuk mengatasi dua parti.

“MUDA dan Saddiq faham akan kemungkinan tak menang, tapi rakyat akan adili keberanian MUDA. Maksudnya MUDA tak merendahkan diri dan kehormatan parti mereka untuk terus mencari tempat dengan PH. Lagipun platform MUDA yang perjuangkan status quo adalah tidak baik,” ujarnya.

Terdahulu, MUDA mendakwa, disisihkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjadi sebab mengapa parti itu mahu bergerak secara solo dalam enam PRN.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa, beliau sukar untuk berjumpa dengan kedua-dua pemimpin itu untuk mengadakan mesyuarat ringkas.

Bahkan, dakwa Syed Saddiq, tiga surat kiriman MUDA kepada Saifuddin memohon untuk mengadakan mesyuarat ringkas turut dibiarkan tergantung serta diperlekeh oleh Menteri Dalam Negeri itu dengan memberi alasan tidak mempunyai masa menjawab surat berkenaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat