Sinergi Persekutuan, Negeri perkasa sekuriti bekalan makanan – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan dan negeri memberi penekanan memperkasa sekuriti bekalan makanan negara yang berdepan pelbagai cabaran akibat daripada senario global pada masa kini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini telah mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang turut dihadiri oleh Menteri-Menteri Kabinet yang berkaitan.

Katanya, cabaran-cabaran ini dipengaruhi oleh faktor, antaranya peningkatan harga input pertanian seperti harga jagung bijian dan baja, kenaikan kos logistik serta cuaca ekstrem yang menyebabkan kekerapan berlakunya banjir dan kemarau yang mengganggu kitaran pengeluaran makanan.

Hal demikian jelas beliau, kerajaan negeri bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Sekuriti Makanan peringkat negeri dan daerah bagi memastikan pelaksanaan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 yang sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri .

Menurut Ismail Sabri, dalam mesyuarat hari ini kerajaan negeri juga bersetuju untuk melaksanakan inisiatif- inisiatif iaitu meningkatkan keluasan tanah yang sesuai khususnya tanah milik negeri untuk aktiviti pertanian dengan mewartakan kawasan tanah pertanian sebagai tanah rizab di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN) dan kemudiannya memajakkan tanah rizab berikut di bawah Seksyen 63 KTN untuk tempoh sekurang- kurangnya 10 sehingga 21 tahun.

“Selain itu, memperkasakan pemberian tanah milik negeri kepada anak syarikat kerajaan negeri berkaitan pertanian yang kemudiannya akan memajakkan tanah tersebut kepada usahawan tani untuk tempoh 30 tahun.

“Pihak berkuasa negeri boleh, tertakluk kepada kaedah-kaedah tanah negeri meluluskan tempoh sekurang-kurangnya 3 tahun dan boleh dilanjutkan seterusnya bagi setiap Lesen Pendudukan Sementara (TOL),” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Bukan itu saja, katanya, antara lain ialah mengekalkan pengezonan kawasan jelapang padi, Pewartaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan membangunkan TKPM yang terbengkalai serta yang belum dimajukan.

“Mengekalkan pewartaan Zon Industri Akuakultur (ZIA) sedia ada dan mewartakan ZIA yang belum diwartakan.

“Menyelaras bersama pihak berkuasa tempatan bagi memudahkan syarat
dan proses kelulusan Kebenaran Merancang (KM) pembangunan sistem reban ayam tertutup dan aktiviti agromakanan yang lain.

“Menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Tanah Pertanian Peringkat Daerah bagi memudah cara urusan membangunkan tanah pertanian milik persendirian yang tidak diusahakan.

“Menetapkan kadar caj abstraksi bagi sumber air tawar dan air masin yang lebih rendah untuk sektor agromakanan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan pengurangan atau pengecualian cukai terhadap industri agromakanan.

“Kementerian Kewangan akan memberikan perincian lanjut,” kata beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,589FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat