KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan beliau tidak pernah terfikir untuk menyertai mana-mana parti lain selain Umno.
Hal ini katanya, kerana parti Umno merupakan wadah perjuangan beliau, walaupun telah menerima tawaran daripada hampir semua parti politik di Malaysia.
Menurut bekas Ketua Pemuda Umno itu lagi, beliau menunggu waktu ‘suka sama suka’ jika Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berhasrat menerima semula ahli yang telah dipecat.
“Saya belum terfikir untuk menyertai parti lain walaupun menerima pelawaan daripada pelbagai pihak. Itu perjuangan dan landasan politik saya sejak dahulu.
“Jadi, saya tunggu sekiranya suatu ketika nanti suka sama suka, jika MKT Umno menerima semula ahli yang telah dipecat,” katanya memetik Keluar Sekejap pada Rabu.
Disember lalu, Khairy mendedahkan sekiranya ingin kembali kepada Umno, beliau meletakkan ‘syarat’ tidak akan mengorbankan idealisme yang menjadi pegangannya.
Tambahnya, beliau tidak berniat untuk ‘berlawan’ dengan sesiapa dalam Umno, sebaliknya menyatakan hasrat untuk melihat parti tersebut menjadi lebih baik.