Jabatan Perikanan, Yayasan Petronas giat pulihara dugong diancam kepupusan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jabatan Perikanan Malaysia dengan kerjasama Yayasan Petronas sedang melaksanakan pemetaan taburan rumput laut di seluruh negara, termasuk penilaian stok karbon habitat berkenaan.

Hal ini memandangkan rumput laut bukan sahaja penting sebagai sumber makanan utama dugong, tetapi turut memainkan peranan dalam mitigasi perubahan iklim melalui keupayaan penyerapan karbon.

“Sempena sambutan Hari Dugong Sedunia yang diraikan pada 28 Mei setiap tahun, Jabatan Perikanan Malaysia terus melaksanakan usaha bersepadu ke
arah pemuliharaan spesies marin terancam seperti dugong (Dugong dugon), yang kini berhadapan risiko kepupusan.

“Sebagai mamalia marin herbivor yang bergantung sepenuhnya kepada ekosistem rumput laut, kelangsungan hidup dugong mencerminkan tahap kesihatan
persekitaran laut negara.

“Justeru, usaha pemuliharaan spesies ini dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi perlindungan habitat kritikal, pemantauan populasi serta kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk komuniti setempat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dugong merupakan satu-satunya spesies yang masih wujud dalam famili Dugongidae dan dilindungi sepenuhnya di bawah perundangan Malaysia termasuk Seksyen 27, Akta Perikanan 1985, Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam) (Pindaan) 2019 serta undang-undang hidupan liar di Sabah dan Sarawak.

Spesies ini disenaraikan dalam Lampiran I Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Liar (CITES), dan dikategorikan sebagai “hampir pupus” oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (International Union for Conservation of Nature, IUCN), menjadikan usaha konservasi sebagai satu keperluan mendesak.

“Populasi dugong di Malaysia tertumpu di beberapa kawasan seperti perairan Pulau Sibu, Pulau Tinggi dan Pulau Besar di Johor, serta di Sabah dan Sarawak.

“Habitat utama dugong adalah kawasan rumput laut cetek, yang turut menjadi ekosistem penting bagi pelbagai spesies marin lain seperti kuda laut, gamat dan ikan juvenil.

“Namun, kawasan ini semakin terancam akibat pembangunan pesisir, penambakan tanah, pencemaran dan aktiviti penangkapan ikan yang tidak lestari.

“Antara usaha pemuliharaan terkini yang sedang dilaksanakan termasuk cadangan pewartaan Santuari Dugong di Johor melibatkan kawasan seluas 150,000 hektar. Pewartaan ini dijangka memperkukuh perlindungan habitat kritikal serta menyokong penyelidikan dan pemantauan jangka panjang,” menurut kenyataan itu lagi.

Jabatan Perikanan Malaysia juga telah menjalankan tinjauan awal ke atas habitat rumput laut dan aktiviti pemakanan dugong di Pulau Seri Buat dan Pulau Sembilang, Pahang.

“Penemuan penting yang menyokong keperluan peluasan inisiatif konservasi ke kawasan lain yang berpotensi.

“Jabatan Perikanan Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi berkaitan, institusi penyelidikan, organisasi bukan kerajaan dan komuniti setempat bagi memastikan usaha pemuliharaan dapat dilaksanakan secara berkesan dan mampan.

“Perlindungan terhadap dugong bukan sahaja penting dari sudut pemeliharaan biodiversiti marin, malah turut menegaskan komitmen negara dalam pengurusan sumber perikanan secara lestari dan bertanggungjawab,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat