Cyberjaya, 28 Mei – Dalam dunia hiburan yang sarat dengan persaingan dan tekanan, tidak semua artis mampu mendedahkan sisi rentan mereka kepada umum. Namun bagi penyanyi muda Amsyar Leee, penyertaannya dalam pertandingan Sing! Asia bukan sekadar misi menonjolkan bakat, tetapi juga perjuangan peribadi dalam mengatasi ketakutan, kekangan budaya, dan cabaran bahasa.
Amsyar, yang kini mewakili Malaysia dalam pertandingan nyanyian tersebut di platform penstriman IQIYI, berdepan puluhan peserta lain dari pelbagai negara seperti China, Jepun, Singapura, Thailand dan Vietnam. Apa yang menjadikan penyertaannya unik bukan hanya kerana dia antara wakil dari Malaysia, tetapi kerana keberaniannya tampil dalam format pertandingan yang menuntut keberagaman linguistik dan ekspresi emosi yang tinggi.
“Saya ada stage fright dan anxiety, rasa takut yang datang bila berdiri atas pentas depan ramai orang. Tapi saya cuba lawan semua tu sebab saya tahu, setiap langkah ke depan adalah satu kemenangan kecil buat diri saya,” kata Amsyar dalam satu temu bual.
Penyanyi yang popular dengan lagu Belai ini mengakui bahawa perasaan gemuruh di atas pentas pernah mengekangnya daripada berkembang sepenuhnya sebagai seorang penghibur. Namun, peluang beraksi di pentas antarabangsa dijadikannya sebagai ruang untuk keluar dari zon selesa dan menakluk ketakutan yang menghantui sejak awal pembabitannya dalam dunia seni.
Antara cabaran terbesar yang dihadapinya sepanjang pertandingan ialah keperluan menyampaikan lagu-lagu dalam bahasa Mandarin – satu bahasa asing yang tidak pernah dikuasainya sebelum ini. Latihan intensif dari segi sebutan, penghayatan emosi dan ketepatan penyampaian menjadi rutin hariannya sepanjang penggambaran di luar negara.
“Lagu-lagu yang saya bawa semuanya berat dan penuh emosi. Tapi sebenarnya, cabaran sebenar bukan berlawan dengan peserta lain. Cabaran sebenar saya adalah diri sendiri.”
Bukan mudah menjiwai makna lagu dalam bahasa yang asing, lebih-lebih lagi bila ekspresi vokal dan emosi perlu diluahkan dengan penuh kefahaman. Namun, Amsyar melihat cabaran ini sebagai peluang pembelajaran yang sangat berharga — sesuatu yang tidak mungkin diperoleh tanpa keberanian mencuba.
Sepanjang penggambaran Sing! Asia yang bermula sejak Februari lalu, Amsyar menjalani rakaman di beberapa negara termasuk China, Jepun dan Hong Kong. Menurutnya, cuaca sejuk di China memberikan kesan ketara terhadap kesihatan fizikalnya, terutamanya dari segi penjagaan suara — aset paling utama bagi seorang penyanyi.
“Sepanjang di sana tekak tak selesa dan sangat memberikan kesan kepada suara. Mahu mencari makanan halal pun agak mencabar. Saya perlu berjaga-jaga dan pastikan makan benda yang betul supaya badan kekal sihat.”
Kesukaran itu bagaimanapun tidak menghalangnya daripada meneruskan perjuangan. Ia sebaliknya mengajar erti ketabahan dan pentingnya menjaga diri dalam persekitaran yang serba mencabar, baik dari segi fizikal mahupun mental.
Episod pertama Sing! Asia yang mula ditayangkan pada 23 Mei lalu menerima maklum balas positif dari penonton, termasuk peminat Amsyar yang pertama kali menyaksikan sisi baharunya di pentas serantau. Namun, seperti biasa dalam dunia hiburan, tidak semua pandangan datang dalam bentuk pujian.
“Walaupun saya terima kecaman hebat dari segelintir rakyat Malaysia yang kurang selesa dengan cara saya membawakan lagu, saya percaya setiap suara ada tempatnya.”
Bagi Amsyar, kecaman bukanlah sesuatu yang melemahkan semangatnya. Sebaliknya, dia menjadikan setiap kritikan sebagai bahan bakar untuk terus melangkah. Dengan sokongan peminat, doa keluarga, dan kepercayaan terhadap diri sendiri, dia yakin akan mampu meninggalkan impak besar dalam industri muzik serantau.
Sepanjang penglibatannya dalam Sing! Asia, Amsyar turut berpeluang bekerjasama dengan produksi antarabangsa yang memberikan input teknikal berkualiti tinggi. Daripada teknik vokal hingga ke pengurusan persembahan, pengalaman ini menjadi batu loncatan untuknya memperkukuh asas dalam kerjaya nyanyian.
“Saya harap sangat dapat melangkah ke final dan buat yang terbaik untuk membanggakan negara. Saya mahu buka mata ramai orang bahawa suara ini adalah suara anak Malaysia yang punya kekuatan jiwa.”
Di saat ramai artis muda hanya mengejar kemasyhuran, Amsyar memilih untuk mengukir nama dengan kejujuran dan ketulenan emosi. Pertandingan ini bukan sekadar untuk menang; ia adalah kisah tentang perubahan, pertumbuhan dan harapan — kisah seorang anak muda yang berani memilih jalan sukar demi menjadi versi terbaik dirinya.