Lepasan SPM berpeluang sambung pengajian ke luar negara menerusi TVET Mara – Dr Asyraf

- Advertisement -

SHAH ALAM – Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mempunyai peluang menyambung pengajian ke luar negara menerusi program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelajar boleh melanjutkan pengajian ke pelbagai negara seperti Jepun, Korea Selatan, Australia, Eropah, Jerman, Rusia dan Perancis.

“Masih ada lagi peluang melalui ekosistem pendidikan Mara bagi mereka yang berminat dalam bidang TVET melalui kemasukan menggunakan keputusan SPM (yang dikeluarkan) Isnin.

“Ekosistem pendidikan Mara melalui Institusi Pendidikan Mara (IPMA) membuka luas peluang laluan pendidikan dan kerjaya dalam bidang TVET yang merupakan keperluan kritikal di sektor perindustrian,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Malah, Asyraf Wajdi berkata, ketika hantaran berkenaan ditulis beliau sedang dalam perjalanan dari Shanghai ke Beijing bertujuan mengadakan pelbagai perbincangan strategik bersama university-universiti terkemuka dunia di China.

Menurutnya, ia bagi membuka laluan Mara untuk menghantar pelajar Malaysia bumiputera ke China bagi menyambung pengajian dalam pelbagai bidang profesional dan teknologi tinggi yang selari dengan Revolusi Industri 4.0 seperti kenderaan elektrik (EV), kecerdasan buatan (AI), ‘Internet of Things’ (IOT), robotik, pengekodan dan sebagainya.

Kata beliau, antara peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara melalui Program ‘Internship’ Jepun dibawah kerjasama Mara-OISCA bagi pelajar-pelajar TVET Mara.

“Program tiga tahun ini akan memberi peluang pelajar yang terpilih untuk mempelajari Bahasa Jepun sebelum menjalani latihan sambil bekerja dengan industri-industri Jepun yang berkaitan iaitu Daihatsu, Nakamura Construction, Seiko Denki dan lain-lain.

“Selepas tamat ‘internship’, pelajar akan memperoleh ‘Diploma Intership Program’ daripada OISCA dan industri Jepun,” ujarnya.

Asyraf Wajdi menambah, menerusi Institut Kemahiran Mara (IKM) atau Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) pelajar lepasan diploma dengan pencapaian gred yang cemerlang dengan syarat yang ditetapkan bagi bidang pengajian yang terpilih boleh menyambung pengajian ke luar negara seperti Australia, Korea, Jepun dan Eropah.

Ujar beliau, selain itu di bawah German-Malaysia Institute (GMI) iaitu salah satu IPMA, pelajar lepasan diploma yang cemerlang boleh memohon melanjutkan pengajian di Jerman bagi peringkat ijazah.

“Melalui Mara-Japan Industrial Institute (MJII), Mara menyediakan fasiliti kelengkapan peralatan yang berteknologi tinggi dan juga penerapan budaya kerja Jepun yang membuka peluang melanjutkan pelajaran ke luar Jepun dan juga negara lain.

“Di bawah Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pula terdapat empat program ke luar negara yakni Rusia, Perancis, Jepun dan Korea,” jelasnya. – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat