Zahid, Tok Mat desak total lockdown

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – UMNO menyokong penuh titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar agar kerajaan mempertimbangkan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh jika jangkitan Covid-19 tidak ada tanda penurunan.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau juga yakin majoriti rakyat Malaysia pun sependapat dengan Sultan Johor dalam pelaksanaan PKP penuh.

Malah, kata beliau, itu juga antara saranan yang sering diketengahkan ramai pimpinan UMNO kepada Kerajaan Persekutuan selama ini.

“Menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, iaitu kerajaan harus mempertimbangkan lockdown penuh jika jumlah kes jangkitan Covid-19 tiada tanda penurunan.

“Terima kasih Tuanku kerana prihatin dan mengambil berat keadaan rakyat yang terus diancam pandemik Covid-19. Tuanku memahami pandemik Covid-19 yang masih gagal ditangani bukan sahaja mengancam keselamatan rakyat.

“Malah, menyebabkan ramai ditimpa kesusahan. Barisan hadapan negara juga kian kepenatan dan kegelisahan,” katanya menerusi Facebooknya, hari ini.

Semalam, Sultan Johor bertitah: “Biar kita telan ubat yang pahit sekarang daripada menanggung sakit yang melarat dan berterusan”.

Baginda amat bersimpati dengan semua petugas barisan hadapan terutama kakitangan perubatan yang terpaksa menanggung bebanan besar virus itu.

“Kepenatan dan kegelisahan mereka jelas kelihatan, namun mereka tetap menjalankan tugas sebaik mungkin. Ingat, bukan Covid-19 sahaja penyakit yang perlu mereka tangani.

“Kasihanilah mereka. Kita semua harus bersatu memainkan peranan untuk mengurangkan beban mereka dan putuskan rantaian jangkitan demi kebaikan kita semua,” titah baginda.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau dan barisan kepimpinan UMNO turut mengambil maklum titah baginda segenap lapisan masyarakat perlu bersikap komited kepada saranan self-lockdown.

Katanya, seluruh rakyat wajar menuruti nasihat baginda kerana ia antara langkah yang dapat memutuskan rantaian jangkitan.

“Seperti saya nyatakan sebelum ini kerajaan masih perlu memainkan peranan membantu rakyat supaya dapat melakukan self-lockdown.

“Rakyat perlu dibantu seadanya supaya dapat duduk tenang di rumah dan tidak perlu ke sana ke sini untuk memastikan keperluan diri dan keluarga.

“Semoga titah baginda DYMM Sultan Johor ini mendapat perhatian semua pihak terutama Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Senada dengan Zahid adalah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan juga menggesa perintah sekatan menyeluruh dilaksanakan serta-merta bagi menangani keadaan wabak Covid-19 yang semakin buruk.

“Kini waktu yang mendesak dan kita perlukan langkah terdesak juga,” kata Mohamad memetik laporan portal FMT.

“Jelas perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama dan kedua tidak berkesan.”

Sepanjang minggu lepas, lebih 50 orang menemui ajal setiap hari akibat Covid-19.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 7,857 jangkitan baharu, iaitu satu rekod baharu dalam tempoh seminggu yang turut mencatatkan beberapa rekod lain.

Mohamad berkata, beliau bimbang sistem kesihatan negara akan lumpuh.

Beliau berkata, proses vaksinasi tidak cukup pantas dan cara terbaik untuk memutuskan rantaian jangkitan ialah melalui penguatkuasaan perintah sekatan menyeluruh.

Katanya, PKP yang pertama membuktikan hakikat itu.

Beliau berkata, negeri Victoria di Australia, melaksanakan perintah sekatan menyeluruh selama tujuh hari selepas 26 kes jangkitan direkodkan.

“Kes kita lebih banyak lagi, dan kita sedang bergelut dengannya. Kita perlukan perintah sekatan yang menyeluruh dan teliti sekurang-kurangnya selama tiga minggu seperti PKP pertama.

“Jika kita perlu meminjam duit bagi membantu perniagaan dan rakyat, maka kita perlu buat.”

Beliau berkata, bantuan itu termasuklah moratorium pinjaman, subsidi upah dan bantuan tunai, terutama kepada golongan miskin.

Mohamad juga menggesa supaya proses semakan dan kelulusan vaksin dipercepatkan, terutama yang telah diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Kerajaan harus membenarkan sektor swasta mendapatkan bekalan vaksin supaya golongan yang mampu dan bersedia membayar kosnya boleh pergi ke sana,” katanya.

“Ini akan mempercepatkan proses vaksinasi.”

Katanya, apabila angka jangkitan menurun, kerajaan boleh menimbangkan untuk membuka semula ekonomi secara berperingkat dengan pemantauan ketat.

Mohamad juga berkata, Putrajaya mesti menguatkuasakan peraturan Covid-19 dengan saksama tanpa amalan dwistandard.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat