Keadaan dah kritikal, bukalah Parlimen semula – Naib Presiden UMNO

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengakui beliau tidak pernah melihat satu keadaan yang lebih terdesak dan kritikal berbanding sekarang.

Hal demikian, Khaled bersetuju dan menyokong pandangan serta saranan Ahli Parlimen Pengerang merangkap Timbalan Speaker Dewan, Datuk Seri Azalina Othman Said yang mendesak agar Parlimen dibuka dan bersidang.

“Pelbagai saranan telah disenaraikan bagi menunjukkan bahawa Parlimen boleh dibuka dan bersidang dengan selamat dalam norma baharu.

“Yang menariknya, saranan tersebut sehingga ke tahap mencadangkan satu peletakan syarat bahawa usul berkenaan sokongan ke atas Perdana Menteri tidak akan dibawa dan dibahaskan sekiranya perkara tersebutlah yang menjadi kerisauan kerajaan,” kata Khaled dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau yang juga Ketua Bahagian UMNO Pasir Gudang, persidangan Parlimen perlu dilakukan kerana negara ketika ini sedang berhadapan dengan krisis dan darurat kesihatan yang meruncing dalam skala yang tidak pernah disaksikan sebelum ini.

“Tidak wujud tanda-tanda bahawa keadaan akan pulih dalam masa terdekat. Malangnya, Parlimen yang sepatutnya menjadi medium perbahasan dan kerjasama bipartisan boleh pula disekat daripada bersidang.

“Ini adalah satu keputusan dan perkara yang bukan sahaja mencemarkan amalan demokrasi, Tetapi meletakkan seluruh negara dalam keadaan berisiko,” ujar Khaled.

Tambah beliau, masa depan, keselamatan dan kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan bukanlah sesuatu yang boleh diperjudikan atau ditutup dengan kenyataan muluk-muluk yang dibuat-buat.

“Kerajaan mesti berhenti berhadapan dengan sebarang krisis dengan cara yang boleh meminggirkan amalan demokrasi.

“Saya percaya semua ahli Parlimen dapat memberikan komitmen dan saranan yang baik ke arah membantu pengurusan krisis ini secara bersama dengan pendekatan yang lebih baik,” katanya.

Semalam, Azalina meluahkan kekesalan beliau dengan sikap kerajaan dan menegaskan institusi Parlimen tidak boleh diletakkan sebagai lockdown kerana ianya merupakan proses demokrasi negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat