KUALA LUMPUR – Pas mempertikai kenyataan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkenaan mandat pengundi berhubung situasi pergolakan politik di Negeri Sembilan.
Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari membuat perbandingan krisis di Negeri Sembilan dengan enam Ahli Parlimen Bersatu yang berpaling tadah ketika menyatakan sokongan secara peribadi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Setiausaha Agung DAP Anthony Loke semalam semasa sidang media panjang lebar huraikan tentang mandat pengundi. Katanya, PH dan BN di Negeri Sembilan mendapat undi dalam PRN2023 atas mandat pengundi yang mana mereka berkempen bersama.
“Jadi apabila Umno Negeri Sembilan tarik sokongan dari Menteri Besar PKR, ia melanggar mandat rakyat.
“Saya nak tanya, ketika enam MP Bersatu isytihar sokong PM, ia langgar mandat pengundi tak? Kenapa DAP turut sama menyokong tindakan Speaker yang tidak isytihar kekosongan enam kerusi tersebut yang jelas langgar mandat pengundi mereka di PRU15?
“Setidak-tidaknya Umno Negeri Sembilan buat keputusan en bloc bukan melompat secara peribadi seperti MP Bersatu. Dan tiada apa-apa halangan seperti Akta Anti Lompat parti yang mengekang keputusan Umno N9 berbanding akta yang sama-sama dipersetujui oleh semua Ahli Parlimen sebelum PRU15 tetapi kemudiannya dilanggar oleh 6 MP Bersatu,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu.
Sebenarnya kata beliau lagi, satu demi satu prinsip yang dilanggar oleh PH akan berbalik implikasinya kepada mereka.
“Termasuklah peruntukan Ahli Parlimen yang mereka juga akan tuntut apabila jadi pembangkang kelak.
“Waktu itu, kita sudah sediakan jawapannya.
“Apapun, tak lupa ucapan Selamat Hari Lahir kepada YB Anthony Loke,” ujar Fadhli.



