KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh tegas menolak kerajaan tebuk atap.
Katanya, beliau kekal dengan prinsipnya sejak dari dulu iaitu, untuk Umno tarik sokongan dari Kerajaan Perpaduan dan jadi pembangkang yang bermaruah ataupun kita hadapi pilihan raya bukan dengan cara menubuhkan kerajaan secara tebuk atap.
“Bila krisis pertukaran Menteri Besar Perlis ramai pentaksub yang marah, malah Adun Pas yang menyokong untuk menukarkan MB juga dipecat dari parti.
“Ada juga yang minta agar pilihan raya negeri diadakan sebagai tanda protes tindakan menebuk atap yang dilakukan oleh Adun- Adun mereka di Perlis.
“Cacian dan makian atas tindakan tebuk atap itu jangan dikira,bergunung dimaki oleh penyokong mereka. Tetapi apabila krisis di Negeri Sembilan berlaku lain pula nadanya, apabila saya menyatakan tidak bersetuju tindakan tebuk atap,maka berbondong makian diberikan kepada saya.
“Prinsip saya jelas, malah telah dinyatakan secara terbuka dalam ucapan saya sebelum ini. Umno tarik sokongan dari Kerajaan Perpaduan tetapi bukan untuk menebuk atap dan gila jawatan, kita tarik sokongan atas sebab kita tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh PH.
“Kita menghormati mandat rakyat, sebab itu saya nyatakan sebelum ini tarik sokongan dan jadi pembangkang yang bermaruah,jika menarik sokongan dan kerajaan tumbang maka kita harus melalui proses pilihan raya untuk kita serahkan semula kepada rakyat bukan dengan cara tebuk atap,” tegas Akmal.
Menurut Adun Merlimau itu, apabila Adun-Adun PN boleh menyatakan sokongan kepada BN di Negeri Sembilan ini menunjukkan perkembangan yang baik untuk parti-parti melayu ini boleh duduk bersama.
“Tetapi duduk bersama bukan menebuk atap,tetapi saya mengajak untuk sama-sama kita bekerjasama dalam pilihan raya seperti mana pendirian saya dalam “keluar sekejap” sebelum ini untuk saya melihat kerjasama Umno dan Pas itu berlaku.
“Jika pentaksub,yang menguntungkan mereka semuanya halal,yang merugikan mereka semua haram itu bezanya dengan orang yang berprinsip.
“Maka rakyat perlukan pemimpin yang berprinsip bukan pentaksub,” kata beliau.



