KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan menyelesaikan kemelut politik di Negeri Sembilan menerusi saluran politik.
Presiden Umno itu menegaskan, perkara amat penting ketika ini adalah mencari penyelesaian terbaik bagi menentukan kerajaan yang kukuh di Negeri Sembilan supaya dapat terus melayani dan mendepani permasalahan rakyat.
“Saya harap kita ikuti Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan peraturan Dewan Undangan Negeri khususnya di Negeri Sembilan, pada hemat saya (ia) tidak semudah itu dan yang paling baik ialah mengikuti semua peraturan yang ada serta prosedur bagi menentukan bahawa peraturan itu diikuti terlebih dahulu.
“Saya akan menyelesaikan kemelut yang ada itu melalui politik dan kita tidak akan pernah campur di dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri ataupun dalam undang-undang adat Negeri Sembilan,” katanya memetik BH di Cyberjaya pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Hari Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Ke-54 dan Pelancaran Dasar Pengguna Negara 2.0.
Semalam, Umno dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan mengumumkan menarik sokongan terhadap Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias, dilaporkan berkata keputusan dibuat secara sebulat suara membabitkan semua 14 Adun Umno/BN Negeri Sembilan susulan krisis adat yang berlaku ketika ini.
Bagaimanapun, Aminuddin pada sidang medianya memaklumkan, beliau akan meneruskan tanggungjawab mentadbir negeri biarpun 14 ADUN BN menarik sokongan kepadanya.
Beliau menjelaskan sudah menyembah maklum mengenai kedudukan semasa Adun yang menyokongnya kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Ditanya mengenai pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kemelut terbabit, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, beliau akan bertemu dengan Pengerusi Pakatan Harapan itu hari ini
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan lokasi dan masa pertemuan itu berlangsung.
Ditanya mengenai kenyataan Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang menegaskan pendiriannya kekal konsisten sejak berlakunya Langkah Sheraton pada 2020 sehingga kini, iaitu menolak sebarang pembentukan kerajaan melalui pendekatan ‘tebuk atap’, Zahid berkata, masalah politik harus diselesaikan secara politik.
“Itulah sebabnya perbincangan dengan Perdana Menteri itu penting dan masalah politik harus diselesaikan cara politik bukan dengan kaedah yang lain,” katanya.



