‘Tebuk atap’ apabila pembangkang nak jadi kerajaan, kami dalam kerajaan dah – Jalaluddin Alias

KUALA LUMPUR – Barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menafikan tindakan menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai langkah ‘tebuk atap’.

ADUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, tindakan itu diambil bagi mempertahankan prinsip parti serta mengelakkan campur tangan politik dalam hal berkaitan institusi raja dan adat.

Tegas beliau, keputusan itu dibuat selepas meneliti kemelut membabitkan institusi adat dan Perlembagaan yang gagal ditangani pentadbiran negeri sehingga mencetuskan perdebatan terbuka termasuk di media sosial.

“Isunya ialah kegagalan menteri besar untuk menguruskan hal ehwal yang berkaitan dengan institusi, adat dan Perlembagaan sehingga membawa kepada kemelut krisis diraja sekarang dan soal dewan ditangguh atau tidak itu soal lain.

“Tebuk atap maknanya ialah daripada menjadi pembangkang nak jadi kerajaan, sekarang kita kerajaan, tak ada sebab kita nak tebuk atap.

“(Tetapi) ini demi mempertahankan prinsip perjuangan parti,” lapor Harian Metro di Seremban pada Selasa.

Jalaluddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata, dia menolak dakwaan langkah itu sebagai strategi politik terancang untuk menumbangkan menteri besar atau kerajaan negeri.

Malah katanya, jika BN berniat untuk mengambil langkah itu, gabungan itu mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian lebih awal.

Ujarnya, ketika pembentukan kerajaan Perpaduan, semua pihak sudah bersetuju mengenai empat perkara asas yang tidak sepatutnya disentuh.

“Tak boleh sentuh soal yang berkaitan dengan raja. Tak boleh sentuh soal yang berkaitan dengan agama, soal yang berkaitan dengan hak orang Melayu. Ini semua perjanjian kita,” katanya.

Justeru itu kata beliau, langkah terbaik ketika ini adalah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) seterusnya memberi mandat kepada rakyat bagi memastikan kestabilan pentadbiran negeri dapat dipulihkan.

“Tetapi pada asasnya apabila (kemelut) ini berlaku, saya fikir eloklah kita serahkan balik kepada rakyat untuk buat mandat baru yang mana DUN harus dibubarkan,” katanya.

Bagaimanapun kata Jalaluddin, keputusan lanjut hanya bergantung kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Ditanya mengenai langkah seterusnya, beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan menerusi proses perundangan dan Perlembagaan yang betul.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat