Kerajaan hormati kebijaksanaan Undang tangani persoalan institusi adat – Anwar

KUALA LUMPUR, – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan persoalan membabitkan institusi Undang di Negeri Sembilan sedang ditangani melalui saluran serta proses yang sah, selain berpandukan kebijaksanaan Undang.

Dalam kenyataan media hari ini, Anwar berkata Kerajaan Persekutuan akan terus memberikan kerjasama penuh bagi memastikan kelangsungan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat negeri itu.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa persoalan yang melibatkan institusi Undang sedang ditangani melalui saluran serta proses yang sah serta kebijaksanaan Undang.

“Kerajaan Persekutuan akan terus memberikan kerjasama penuh untuk memastikan kelangsungan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Kenyataan Perdana Menteri itu dikeluarkan susulan perkembangan politik dan institusi adat di Negeri Sembilan yang menjadi perhatian umum sejak kebelakangan ini.

Anwar berkata beliau telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, malam tadi bagi membincangkan perkembangan melibatkan institusi Raja dan pentadbiran kerajaan negeri.

Menurut beliau, pertemuan itu turut menjunjung kasih atas kebijaksanaan Tuanku Muhriz dalam menangani perkara berkenaan.

Dalam pertemuan tersebut, Anwar berkata beliau menyokong titah Tuanku Muhriz agar Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun terus menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar.

Katanya, perkara itu penting bagi memastikan kestabilan pentadbiran negeri, memelihara kepentingan rakyat serta menjunjung kedaulatan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Saya yakin berdasarkan pengalaman dan khidmat cemerlang, beliau akan terus menjalankan tugas dengan sempurna,” katanya.

Anwar turut menegaskan dalam apa juga keadaan, keluhuran institusi Raja dan undang-undang negeri mesti terus dipelihara serta dipertahankan.

Beliau juga menyeru rakyat, khususnya di Negeri Sembilan, supaya terus berhemah, beradab dan menjaga ketertiban terutama dalam membicarakan ehwal institusi Raja serta undang-undang negeri.

“Kemenakan beraja ke mamak, mamak beraja ke muafakat, muafakat beraja kepada kebenaran, dan kebenaran itu berdiri sendiri,” katanya.

Negeri Sembilan sebelum ini berdepan perkembangan luar biasa apabila isu membabitkan kedudukan institusi Undang, Dewan Keadilan dan Undang serta pentadbiran kerajaan negeri mencetuskan perhatian politik dan perlembagaan negeri.

Kenyataan Anwar dilihat memberi penekanan bahawa sebarang persoalan berkaitan institusi Undang perlu diselesaikan melalui proses yang sah, tertib dan bermuafakat, selain mengambil kira kedudukan adat serta undang-undang negeri. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat