Angka korban nahas kereta api Indonesia meningkat 14 orang, 84 cedera

JAKARTA,— Angka korban nahas perlanggaran dua tren berhampiran ibu negara Indonesia meningkat kepada 14 orang, manakala 84 lagi cedera, menurut pengendali kereta api negara itu, PT KAI.

Reuters melaporkan, kemalangan membabitkan sebuah tren komuter dan tren jarak jauh itu berlaku lewat Isnin di Bekasi, di luar Jakarta.

Ketua Pegawai Eksekutif PT KAI, Bobby Rasyidin berkata, jumlah kematian meningkat kepada 14 orang susulan operasi menyelamat yang dijalankan di lokasi kejadian.

Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Indonesia, Mohammad Syafii pula berkata, operasi pemindahan mangsa telah selesai pada Selasa selepas pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam gerabak remuk.

Menurut beliau, proses menyelamat dilakukan dengan penuh berhati-hati kerana keadaan gerabak yang rosak teruk memerlukan kemahiran khusus.

“Kami perlu melibatkan anggota dengan kemahiran tertentu untuk melakukan proses mengeluarkan mangsa secara terukur,” katanya.

Syafii berkata, tiada lagi penumpang yang dipercayai masih berada di dalam gerabak, namun pasukan penyelamat akan terus meneliti kawasan runtuhan sekiranya terdapat penemuan lanjut.

Gerabak khas wanita dilaporkan paling teruk menerima kesan perlanggaran itu. Syafii berkata, semua mangsa yang maut adalah wanita dan kebanyakan mereka tersepit akibat struktur logam yang remuk.

Sebelum kedua-dua tren dipisahkan, pasukan penyelamat dilihat menggunakan pemotong besi bagi membuka bahagian kompartmen untuk mengeluarkan mangsa.

Bobby dalam sidang media terdahulu berkata, tren komuter itu terlebih dahulu berlanggar dengan sebuah teksi di landasan sebelum dirempuh oleh tren jarak jauh.

Syarikat pengendali teksi Green SM Indonesia dalam kenyataan di Instagram mengesahkan teksi yang terlibat dalam kejadian itu adalah sebahagian daripada armadanya.

Syarikat itu berkata, pihaknya telah menyerahkan maklumat berkaitan kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang melawat sebuah hospital di Bekasi berkata, beliau bersetuju supaya sebuah jejambat dibina berhampiran laluan kereta api berkenaan bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Beliau turut mengarahkan siasatan penuh dijalankan berhubung nahas itu dan menyatakan sebahagian besar rangkaian kereta api negara itu berada dalam keadaan tidak diselenggara dengan baik.

Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional Indonesia (KNKT) kini menjalankan siasatan terhadap punca kejadian.

Pada Selasa, orang ramai turut memenuhi kawasan stesen, termasuk ahli keluarga yang mencari maklumat mengenai saudara mereka.

Seorang penumpang dikenali sebagai Heriyati berkata, beliau pada mulanya mahu menaiki gerabak khas wanita, namun akhirnya memilih gerabak di belakangnya.

Katanya, beliau sedang bercakap melalui telefon dengan suaminya untuk meminta dijemput di stesen ketika perlanggaran berlaku.

“Saya belum sempat menghabiskan panggilan itu, tren sudah berlanggar,” katanya.

Tren komuter merupakan antara pengangkutan paling sibuk di Jakarta. PT KAI memaklumkan beberapa perjalanan tren komuter terpaksa dipendekkan susulan nahas tersebut.

Kemalangan pengangkutan darat kerap berlaku di Indonesia. Pada 2024, perlanggaran tren di wilayah Jawa Barat mengorbankan empat orang dan mencederakan puluhan yang lain.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat