Individu Didenda RM30,000, Muat Naik Kandungan Jelik Hina Institusi Kehakiman di Facebook

KENINGAU,— Seorang individu mengaku bersalah atas pertuduhan memuat naik kandungan jelik melampau serta menghina institusi kehakiman menerusi platform media sosial Facebook pada 22 Disember 2025.

Tertuduh, Mohamad Azri Sahlam, 41, dijatuhi hukuman denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Keningau selepas pengakuan bersalah direkodkan.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), tertuduh didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kerana secara sedar menggunakan akaun Facebook untuk memulakan penghantaran komunikasi yang bersifat jelik melampau.

Mahkamah turut dimaklumkan bahawa tertuduh telah membayar denda berkenaan.

Bagi kesalahan tersebut, hukuman di bawah Seksyen 233(2) memperuntukkan denda maksimum sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

MCMC menegaskan bahawa pihaknya memandang serius penyebaran kandungan jelik melampau, khususnya yang melibatkan unsur 3R (agama, kaum dan institusi diraja), kerana ia boleh menjejaskan kedaulatan undang-undang serta kebebasan institusi kehakiman.

Selain itu, tindakan sedemikian juga berpotensi menggugat ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab bagi memastikan ruang siber kekal selamat serta tidak disalahgunakan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” menurut kenyataan itu.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat