BN Negeri Sembilan keluar dokumen jelaskan pendirian, pertikai cara Menteri Besar urus krisis adat

SEREMBAN,— Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan mengeluarkan satu dokumen berbentuk soalan lazim bagi menjelaskan pendirian parti itu berhubung krisis institusi adat dan perlembagaan negeri, selain mempertikaikan cara Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mengurus isu tersebut.

Dokumen bertajuk Soalan Lazim UMNO & Barisan Nasional Negeri Sembilan itu menyatakan pendirian BN bukan dibuat kerana mahu menimbulkan ketegangan politik, mencampuri urusan adat atau mengejar kuasa.

Sebaliknya, BN berkata pendirian itu diambil kerana krisis yang melibatkan Institusi Adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan didakwa gagal diurus dengan tertib sehingga menjejaskan keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar, pentadbiran kerajaan negeri dan keharmonian rakyat.

Menurut dokumen itu, isu sebenar bukan perebutan jawatan Menteri Besar, tetapi krisis keyakinan terhadap cara Menteri Besar mengurus perkara berkaitan adat dan perlembagaan negeri.

“UMNO/BN Negeri Sembilan berpandangan bahawa isu adat sepatutnya diurus dengan penuh tertib, bijaksana dan berhati-hati.

“Namun apabila kenyataan Menteri Besar dalam isu ini dipertikai oleh pihak adat yang terlibat, dan apabila Exco UMNO/BN tidak dimaklumkan dalam sebarang perbincangan kerajaan negeri sebelum isu menjadi kritikal, maka keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar telah terjejas,” menurut dokumen itu.

BN turut menegaskan pihaknya tidak menentukan siapa betul atau salah dalam pertikaian adat, selain tidak mengambil peranan menggantikan Institusi Adat atau membuat keputusan bagi pihak adat.

Menurut parti itu, urusan adat hendaklah diselesaikan oleh institusi adat mengikut tertib adat, perlembagaan dan undang-undang negeri.

Bagaimanapun, BN mempersoalkan tindakan serta kenyataan eksekutif kerajaan negeri, khususnya apabila Menteri Besar dilihat membuat kenyataan muktamad dalam perkara adat yang masih dipertikai oleh pihak adat sendiri.

Dokumen itu turut menyentuh kenyataan Menteri Besar berhubung Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 17 April lalu yang didakwa telah bersetuju menasihati dan menerima kesepakatan berkaitan pemberhentian Datuk Klana Petra Dato’ Mubarak Dohak sebagai penyandang pesaka Dato’ Klana Petra Luak Sungei Ujong.

Namun BN berkata kenyataan tersebut kemudian dipertikai oleh pihak adat yang terlibat, termasuk laporan media yang menyebut empat Undang mempertikaikan dakwaan bahawa DKU telah menasihati agar Mubarak Dohak diberhentikan.

Sehubungan itu, BN berpandangan isu berkenaan memerlukan penjelasan rasmi lebih lengkap, termasuk asas keputusan, minit mesyuarat, senarai kehadiran dan bentuk keputusan sebenar.

“Persoalan ini bukan tuduhan muktamad. Ia adalah persoalan pentadbiran, ketelusan dan tertib perlembagaan yang wajar dijawab,” menurut dokumen itu.

BN turut menjelaskan bahawa tindakan menarik sokongan terhadap Menteri Besar dibuat kerana keyakinan terhadap kepimpinan beliau telah hilang.

Menurut dokumen itu, semua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri UMNO/BN sebulat suara hilang kepercayaan kepada Menteri Besar dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan beliau.

Pendirian itu dikaitkan dengan krisis Institusi Adat dan Perlembagaan, kegagalan dimaklumkan dalam perbincangan kerajaan negeri, serta kebimbangan terhadap kestabilan kerajaan dan keharmonian rakyat.

BN juga menolak dakwaan bahawa tindakan tersebut bermaksud parti itu mahu melakukan “tebuk atap”.

Menurutnya, BN tidak bertindak secara sembunyi-sembunyi, sebaliknya membuat pendirian terbuka dan bertanggungjawab bahawa keyakinan terhadap Menteri Besar telah hilang.

“Apa-apa langkah selepas itu mesti dibuat mengikut lunas Perlembagaan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan proses yang sah,” menurut dokumen itu.

Dalam masa sama, BN menegaskan pendiriannya bukan bertujuan melawan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sebaliknya tertumpu kepada cara Menteri Besar mengurus krisis melibatkan adat dan perlembagaan negeri.

BN berkata pihaknya tetap menjunjung kasih dan menghormati Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Institusi Diraja dan Institusi Adat.

“Pendirian UMNO/BN bukan terhadap Tuanku. Pendirian UMNO/BN adalah terhadap cara Menteri Besar mengurus krisis yang melibatkan adat dan perlembagaan negeri,” menurut dokumen itu.

BN turut menyatakan kesediaan melalui proses Dewan Undangan Negeri sekiranya keyakinan terhadap Menteri Besar perlu diuji secara rasmi.

Menurut dokumen itu, jika keyakinan terhadap Menteri Besar dipersoalkan, jalan terbaik ialah membenarkan proses perlembagaan berjalan secara jelas, terbuka dan tertib.

BN juga menafikan pihaknya menolak kestabilan kerajaan negeri, sebaliknya mendakwa pendirian itu dibuat kerana mahu kestabilan dikembalikan.

“Kestabilan bukan sekadar kerajaan terus berjalan. Kestabilan juga memerlukan keyakinan, ketelusan, kebijaksanaan kepimpinan, penghormatan kepada institusi, dan pentadbiran yang tidak mencetuskan kekeliruan rakyat,” menurut dokumen tersebut.

BN berkata fokus utamanya ketika ini bukan soal jawatan atau pembentukan kerajaan baharu, tetapi krisis keyakinan terhadap Menteri Besar dan keperluan mengembalikan kestabilan negeri mengikut proses perlembagaan.

Dokumen itu turut menyatakan rakyat Negeri Sembilan mahukan suasana tenang, krisis tidak berpanjangan, pentadbiran berjalan, ekonomi negeri dijaga dan keharmonian masyarakat dipelihara.

“Konflik adat biar institusi adat selesaikan. Tetapi kegagalan eksekutif kerajaan negeri mengurus krisis ini tetap perlu dijawab,” menurut dokumen itu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat