CYBERJAYA – Usaha memperkukuh pemantauan di kawasan tumpuan pelancong sekitar Persiaran Menara Berkembar Petronas (KLCC) bakal dipertingkat dengan pemasangan lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata langkah itu antara inisiatif bagi membendung kegiatan jurugambar tidak berlesen atau lebih dikenali sebagai “ulat foto” yang dilihat semakin berleluasa di kawasan berkenaan.
Menurutnya, perbincangan akan diadakan bersama KLCC Property Holdings Berhad serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi meneliti keperluan menambah jumlah CCTV, khususnya di kawasan luar yang menjadi laluan utama pengunjung.
“Matlamat kita adalah untuk memastikan identiti mereka yang menjalankan aktiviti tanpa kebenaran dapat dikenal pasti dengan lebih mudah melalui pemantauan CCTV,” katanya seperti dipetik laporan Bernama.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas insiden membabitkan sekumpulan jurugambar tidak berlesen yang didakwa menyerang seorang individu selepas cuba meleraikan satu pertikaian dengan seorang pelancong asing di lokasi tersebut baru-baru ini.
Tambahnya, pihak berkuasa turut disaran meningkatkan rondaan secara berkala oleh polis dan penguat kuasa DBKL bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Katanya, kejadian seumpama itu bukan sahaja menjejaskan imej negara, malah boleh memberi kesan negatif kepada pengalaman pelancong yang berkunjung ke Kuala Lumpur.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Dang Wangi memaklumkan bahawa seramai 18 individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti jurugambar tidak berlesen telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Hannah turut mengulas isu berasingan melibatkan dakwaan seorang ahli Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) yang dikatakan meminta wang daripada sebuah pusat urut di Wangsa Maju.
Beliau menegaskan bahawa ahli MPPWP tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan di lapangan, sebaliknya berperanan sebagai penyampai aduan kepada DBKL.
“Peranan mereka jelas, iaitu menyampaikan aduan, bukannya bertindak sebagai penguat kuasa,” katanya.
Isu tersebut timbul susulan rakaman CCTV yang tular, memaparkan kehadiran dua individu yang mendakwa sebagai wakil MPPWP dan dikatakan meminta wang daripada premis berkenaan atas alasan tertentu.



