CYBERJAYA — Malaysia akan menghantar nota diplomatik kepada Filipina secepat mungkin bagi menolak sebarang tuntutan ke atas Sabah yang dibangkitkan oleh seorang senator negara itu baru-baru ini, memetik laporan Bernama.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia secara konsisten mengambil langkah sama setiap kali isu tuntutan terhadap Sabah dibangkitkan oleh mana-mana pihak di Filipina.
Beliau menegaskan bahawa kedudukan Sabah sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia adalah muktamad, memandangkan rakyat negeri itu telah memilih untuk menyertai Malaysia melalui proses sah yang turut diperakukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut beliau, isu tuntutan terhadap Sabah bukan perkara baharu dan telah berlarutan sejak sekian lama, malah sering dibangkitkan oleh pihak tertentu.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata kenyataan yang dibuat oleh individu seperti senator berkenaan tidak mencerminkan pendirian rasmi kerajaan Filipina dan tidak menjejaskan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Beliau turut menjelaskan bahawa Malaysia tidak menghantar nota bantahan, sebaliknya nota penolakan terhadap tuntutan tersebut sebagai pendirian rasmi negara.
Dalam masa sama, beliau berkata hubungan Malaysia dan Filipina kekal baik walaupun isu berkenaan sesekali timbul, dan tidak pernah menjejaskan kerjasama diplomatik antara kedua-dua negara.
Media sebelum ini melaporkan seorang senator Filipina menggesa agar tuntutan ke atas Sabah dihidupkan semula, termasuk cadangan menghantar wakil rasmi ke kawasan berkenaan.



