Cetak rompak digital, ancaman serius kepada Industri muzik Malaysia

- Advertisement -

Bertempat di Baba Nyonya House, Hub SS2, Petaling Jaya, satu Majlis Iftar dan Sidang Media telah dianjurkan oleh Rumah Produksi Merah yang diketuai oleh Dato’ Awie dan Dato’ Eddy Amir Salim.

Majlis ini turut memberi peluang kepada pihak media dan rakan industri untuk berbincang mengenai pelbagai cabaran yang dihadapi oleh industri muzik tempatan, termasuk isu cetak rompak digital yang semakin berleluasa. Dato’ Awie dan Dato’ Eddy Amir Salim menegaskan komitmen mereka dalam memperjuangkan hak-hak artis dan penganjur konsert bagi memastikan industri ini terus berkembang dengan baik.

Dalam era digital yang semakin berkembang, industri hiburan di Malaysia kini berdepan dengan ancaman baru yang boleh menjejaskan ekosistem konsert secara keseluruhan. Menurut Dato Eddie, penganjur konsert terkenal, aktiviti penstriman langsung (live streaming) tanpa kebenaran sepanjang konsert berlangsung kini menjadi satu bentuk cetak rompak moden yang merugikan banyak pihak.

“Kami sebagai penganjur telah melabur dengan jumlah yang besar untuk memastikan setiap konsert berjalan lancar, namun ada pihak yang mengambil kesempatan dengan merakam dan menyiarkan keseluruhan konsert secara langsung tanpa kebenaran. Lebih membimbangkan, mereka menjana keuntungan dengan mengenakan langganan kepada penonton di platform seperti YouTube,” ujar Dato Eddie.

Fenomena rakaman haram ini bukan sahaja menjejaskan penganjur tetapi juga merugikan artis, kru teknikal, dan seluruh ekosistem yang terlibat dalam industri muzik. Kos penganjuran sesebuah konsert merangkumi bayaran artis, sewa lokasi, sistem bunyi, pencahayaan, keselamatan, promosi, dan pelbagai aspek lain yang memerlukan pelaburan yang tinggi. Apabila konsert dirakam dan disebarkan tanpa kebenaran, sumber pendapatan utama penganjur dan artis turut terjejas.

Beliau turut menekankan bahawa langkah pencegahan telah diambil, termasuk menetapkan syarat dalam pembelian tiket agar tidak membawa masuk sebarang alat rakaman. Namun, masih terdapat segelintir individu yang melanggar peraturan ini dan merosakkan nilai industri hiburan tempatan. Pihak keselamatan sering kali terpaksa berhadapan dengan penonton yang cuba menyeludup masuk peranti rakaman atau menggunakan telefon bimbit untuk membuat siaran langsung secara sembunyi-sembunyi.

“Jika perkara ini berterusan, ia boleh menyebabkan ramai penganjur enggan menganjurkan konsert kerana pulangan pelaburan mereka sudah dicuri secara terang-terangan. Bayangkan jika semua konsert boleh ditonton secara percuma melalui rakaman haram, siapa lagi yang akan membeli tiket? Artis pun akan berasa tidak berbaloi untuk membuat persembahan secara langsung,” tambahnya lagi.

Selain itu, Dato Eddie juga menekankan bahawa isu ini bukan sekadar merugikan penganjur dan artis, tetapi juga memberi kesan buruk kepada industri sokongan seperti vendor peralatan teknikal, katering, dan tenaga kerja yang menjayakan acara konsert. Sekiranya penganjur berhenti menganjurkan konsert akibat kerugian besar, ribuan pekerja industri muzik boleh kehilangan sumber pendapatan mereka.

Dalam usaha mengekang masalah ini, Dato Eddie telah berbincang dengan pihak peguam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), serta kementerian yang berkaitan untuk mencari penyelesaian. Langkah perundangan dan pemantauan ketat terhadap aktiviti rakaman haram bakal diperketatkan bagi melindungi industri muzik tempatan. Beliau juga mencadangkan agar hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang didapati bersalah melakukan rakaman tanpa kebenaran bagi mengekang masalah ini daripada terus berleluasa.

Pada di masa hadapan, jika perkara ini tidak dibendung, tiada lagi konsert yang akan diadakan secara langsung. Sebaliknya, artis hanya akan membuat rakaman studio dan penonton hanya boleh mendengar lagu melalui platform digital. Jika ini berlaku, ia akan merosakkan ekosistem industri hiburan negara secara menyeluruh. Kita harus bertindak sebelum semuanya menjadi terlalu lewat.

Pihak penganjur konsert dan penyokong industri muzik berharap agar tindakan tegas dapat diambil bagi memastikan kesalahan cetak rompak digital ini tidak terus berleluasa. Dengan adanya kesedaran dalam kalangan peminat muzik serta sokongan daripada pihak berkuasa, industri hiburan tempatan dapat terus berkembang dengan sihat dan lestari. Semua pihak termasuk peminat muzik juga harus memainkan peranan dalam menyokong industri dengan membeli tiket secara sah dan menghormati usaha yang telah dilakukan oleh semua yang terlibat dalam penganjuran konsert.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat