Segera Pisahkan Peranan Peguam Negara Dan Pendakwa Raya Elak Konflik Kepentingan – MUDA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menggesa kerajaan menyegerakan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Dalam kenyataan bersama Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz dan Naib Presiden MUDA, Lim Wei Jiet menegaskan gesaan untuk pemisahan peranan Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang dan Pendakwa Raya dilaksanakan secara segera.

Kata mereka, ini seiring dengan manifesto yang ditawarkan oleh dua gabungan parti terbesar dalam Kerajaan Perpaduan pada hari ini.

“Semalam dilaporkan pihak Pendakwaan dari Jabatan Peguam Negara tidak membantah permohonan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, diberikan semula pasportnya oleh mahkamah. Selaras dengan itu, mahkamah telah pun membenarkan permohonan tersebut.

“Ini menimbulkan persepsi bahawa terdapat campur tangan terhadap pihak Jabatan Peguam Negara untuk mengambil keputusan yang memanfaatkan seorang Menteri Kerajaan,” kata kenyataan bersama itu pada Selasa.

Tambahnya, Peguam Negara kini memainkan dua peranan yang meletakkan beliau dalam konflik kepentingan.

“Pertama, menjadi ketua penasihat undang-undang kepada kerajaan dan menteri-menterinya.

“Kedua, menjadi Pendakwa Raya yang berkuasa mendakwa dan menggugurkan pendakwaan terhadap mana-mana pihak, termasuk terhadap menteri-menteri kerajaan,” ujarnya.

Susulan itu tegas MUDA, untuk mengelak konflik kepentingan dan mengelak persepsi campur tangan kerajaan dalam segala keputusan Jabatan Peguam Negara, ianya adalah penting untuk memisahkan peranan Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang Kerajaan dan Pendakwa Raya.

“Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, turut menyuarakan sokongan konsisten bagi melaksanakan pemisahan peranan ini,” gesa MUDA.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat