Guru KAFA Enggan Ambil Vaksin Boleh Digantung Tugas atau Ditamatkan Khidmat – JAIS

- Advertisement -

SHAH ALAM – Guru-guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di Selangor yang enggan mengambil vaksin Covid-19 akan digantung tugas selama dua bulan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, perkhidmatan guru-guru terbabit turut boleh ditamatkan serta-merta jika mereka masih tidak melengkapkan vaksinasi Covid-19 sepanjang tempoh penggantungan tersebut.

“Tindakan tersebut diambil berpandukan ketetapan yang dibuat pihaknya berdasarkan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang mengingatkan perkara sama kepada para pegawai masjid dan jurunikah.

“Ini isu lama berkenaan titah baginda yang mengarahkan guru-guru KAFA wajib ambil vaksin. JAIS juga ada keluarkan pekeliling, semua peluang kita beri,” katanya.

Beliau menambah, akibat kedegilan kumpulan tersebut, maka mereka digantung tugas selama dua bulan.

Katanya lagi, tempoh penggantungan tersebut adalah peluang yang diberikan kepada guru-guru KAFA terbabit untuk melengkapkan vaksinasi Covid-19.

“Terdapat segelintir pihak yang enggan mematuhi ketetapan di peringkat negeri Selangor dan hanya mengikut arahan daripada kerajaan persekutuan.

“Jadi, ini tidak bagus sebab mungkin JAIS sudah terlalu berlembut tentang perkara ini,”ujarnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya boleh menggantung tugas guru KAFA lebih lama, namun JAIS tidak mahu berbuat demikian kerana ia memberi kesan kepada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Media melaporkan tahun lalu, seramai 130 guru KAFA di Selangor dipanggil oleh kerajaan negeri untuk sesi penerangan kali kedua susulan keengganan mereka menerima vaksin Covid-19 menerusi sesi khas dianjurkan JAIS pada September.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, sesi penerangan itu membabitkan pakar kesihatan, agamawan dan mufti bagi memberi maklumat tepat berhubung pengambilan vaksin. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat