Umno bukan penceroboh di Sabah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pemimpin Umno Sabah mempertahankan kehadiran parti Melayu di negeri itu sejak 34 tahun lalu sebagai rakan perjuangan rakyat negeri itu dan bukannya penceroboh.

Pengerusi Majlis Penerangan dan Media Baharu Umno Sabah Samasuddin Yusop berkata, Umno adalah rakan perjuangan rakyat Sabah dalam membina negeri yang lebih maju, makmur dan dihormati.

“Sejarah membuktikan bahawa kehadiran Umno di Sabah menjadi pemacu kepada kestabilan, kemajuan dan kesejahteraan rakyat.

“Umno bukan penceroboh tetapi rakan perjuangan rakyat Sabah dalam membina negeri yang lebih maju, makmur dan dihormati di peringkat nasional serta antarabangsa,” lapor BH di Kota Kinabalu pada Jumaat.

Beliau mengulas sambutan ulang tahun Umno Sabah yang memasuki tahun ke-34 pada 5 Februari lalu selepas secara rasmi mengembangkan sayap ke Sabah pada 5 Februari 1991.

Samasuddin yang juga Ketua Umno Kalabakan itu berkata kemasukan Umno ke Sabah bukan kerana paksaan tetapi atas permintaan pemimpin dan rakyat Sabah sendiri yang mahukan kestabilan politik dan pembangunan yang lebih mapan.

Keputusan ini, katanya didorong pemimpin tempatan seperti Tun Datu Mustapha Datu Harun, Tun Said Keruak dan Tun Sakaran Dandai yang melihat kehadiran Umno sebagai langkah penting mengangkat suara Sabah di peringkat nasional dan memastikan pembangunan lebih seimbang.

“Tun Sakaran pernah menegaskan bahawa Umno datang bukan untuk mengambil hak rakyat Sabah tetapi untuk memastikan hak itu terus terpelihara dalam arus pembangunan negara.

“Sejak kemasukan Umno, Sabah mengalami transformasi besar dalam infrastruktur, pendidikan, ekonomi dan peluang pekerjaan, terutama dalam memastikan hak rakyat Sabah terjamin di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Umno memainkan peranan utama dalam membawa pelbagai projek pembangunan seperti jalan raya luar bandar, bekalan elektrik dan air bersih dan pembangunan institusi pendidikan tinggi seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS),” katanya.

Samasuddin berkata Umno juga membuktikan komitmen dalam memperjuangkan kestabilan politik, yang menjadi asas kepada kemajuan negeri ini.

Beliau berkata, dengan penyertaan Umno, Sabah mendapat wakil yang lebih kuat dalam Kerajaan Persekutuan dalam memastikan suara rakyat Sabah sentiasa didengar dan kepentingan negeri terus dibela.

Samasuddin turut menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli Umno Sabah yang sama-sama menjayakan Sambutan Ulang Tahun Umno Sabah Ke-34 yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri selaku Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Tawau pada 23 Februari lalu.

Ahli jawatankuasa pelaksana sambutan berkenaan diraikan pada satu majlis penghargaan di Pejabat Umno Bahagian Kalabakan, kelmarin.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada setiap individu yang telah berkorban masa, tenaga dan usaha demi memastikan majlis itu berjalan dengan lancar dan berjaya.

“Keikhlasan dan dedikasi semua bukan hanya mencerminkan kesetiaan kepada parti tetapi juga komitmen dalam mengukuhkan kedudukan Umno di Sabah sebagai parti yang terus membela rakyat,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat