KUALA LUMPUR – Sultan Pahang Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah menitahkan semua pihak agar tidak berterusan membahaskan soal Titah Addendum.
Menurut baginda, Titah Addendum kini ia telah berada dalam bidang kuasa pihak yang bertanggungjawab dan berintegriti.
Justeru Al Sultan Abdullah menitahkan, semua pihak perlu menghormati proses serta undang-undang yang telah ditetapkan dan tidak menimbulkan sebarang kekeliruan dan retorik.
Kesultanan Pahang dalam kenyataan media pada Jumaat berkata, Al-Sultan Abdullah meminta agar semua pihak tidak berterusan membahaskan soal Titah Addendum.
Paduka Baginda menegaskan bahawa ia telah berada di bawah proses undang-undang dan semua pihak perlu menghormatinya.
“Dalam soal Titah Addendum, bahawasanya perkara ini adalah berada dalam bidang kuasa pihak yang bertanggungjawab dan berintegriti.
“Oleh itu, semua pihak perlu menghormati proses serta undang-undang yang telah ditetapkan dan tidak menimbulkan sebarang kekeliruan dan retorik.
“Saya menyeru kepada semua supaya berpegang teguh kepada nilai kejujuran, amanah, saling menghormati dan bersikap terbuka dalam menyelesaikan sesuatu perkara,” titah Paduka Baginda ketika Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di Kuantan semalam.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ; Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.