MUAR -Menguruskan wakil rakyat menjadi keutamaan berbanding menguruskan kerajaan, negeri dan masyarakat merupakan formula perkongsian kuasa tidak seharusnya wajar diteruskan oleh Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden UMNO, Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata, kita harus sedar, kestabilan akan hanya wujud apabila formula perkongsian kuasa itu jelas dan diterima dengan penuh toleransi dan permuafakatan.

“Bukannya dengan persaingan dalaman dan tikam-menikam secara terbuka apatah lagi secara tertutup.

“Pakatan yang sarat prejudis, dipenuhi gunting dalam lipatan dan api dalam sekam, hanya akan menjadi retak yang menanti belah.

“Bahkan diburukkan dengan kehadiran katak-katak politik yang melompat mengikut arus kuasa,” katanya dalam catatan di Facebook pada Isnin.

Bekas Menteri Besar Johor menegaskan, strategi perkongsian kuasa dengan ‘pakatan’ demikian hanya akan menjadikan kerajaan tidak stabil.

“Kerajaan akan menjadi tidak stabil. Menguruskan wakil rakyat menjadi keutamaan berbanding menguruskan kerajaan, negeri dan masyarakat.

“61 tahun dan sehingga kini, formula perkongsian kuasa BN terbukti berhasil. Tidak sempurna, tetapi berhasil.

“Tidak seperti sesetengah pihak. Seawal pra penamaan calon sampailah ke hari ini, tidak berhenti dengan episod bertikam, sudah berpecah dan saling membaling batu sembunyi tangan.

“BN komited membawa kestabilan masa depan. Kestabilan masa depan adalah perkara yang merentasi kaum dan bangsa.

“BN adalah parti merentas kaum dan bangsa. BN mahu kekalkan perkara ini. Semoga BN berjaya dalam PRN Johor kali in, Insya-Allah,” ucap Khaled.

Sementara itu, beliau memberitahu sepanjang tiga hari berkempen di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ‘mood’ dan ‘vibe’ di lapangan sangat baik.

“Rata-rata masyarakat positif dan mesra dengan calon yang ditampilkan. Malah, jentera kempen BN tidak mempunyai masalah untuk mendekati masyarakat bagi mendengar hasrat serta keinginan mereka dalam kerajaan yang bakal dibentuk.

“Ramai yang menzahirkan hasrat serta sokongan agar BN memastikan wujud sebuah kerajaan yang stabil. Yang tidak akan diugut-ugut dengan butang yang boleh ditekan oleh mana-mana sang pemimpin.

” Mereka mahu Kerajaan Johor kali ini kerajaan yang kuat dan mempunyai keabsahan yang jelas dan terhormat.

“Kerajaan yang ada air muka tersendiri. Yang stabil dan berupaya membawa kestabilan,” tegas Khaled.