TANGKAK – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengesahkan tidak akan ada pilihan raya negeri (PRN) di negeri itu memandangkan kerajaan negeri stabil dan kuat.

Bahkan ujar beliau, buat masa ini belum timbul sebarang tanda wakil-wakil rakyat di Perak akan menarik sokongan terhadapnya.

Hal ini kata Saarani kerana mereka sedar jika tarik diri pun kerajaan tidak jatuh.

“Di Perak ini kerajaannya stabil. Sebab apa? Barisan Nasional (BN) ada 25 kerusi, PAS ada tiga dan Bersatu ada empat.

“Ada lagi tiga ADUN Bersatu masuk Parti Bangsa Malaysia, walaupun tak lagi bersama Bersatu tapi mereka tulis kepada Speaker mengatakan mereka menyokong kerajaan.

Maka dah ada 35, ada seorang bebas, jadi 36 kerusi.

“…dengan 36 itu kuatlah kerajaan Perak ini. Tak adalah tanda-tanda sesiapa pun yang akan menarik diri, sebab dia tau kalau dia tarik diri kerajaan tidak jatuh

“Jadi tak ada keperluan untuk Perak adakan PRN,” kata Pengerusi Perhubungan UMNO Perak di Tangkak, Johor malam tadi.

Saarani memberitahu beliau selaku Menteri Besar akan menasihatkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika mahu mengadakan PRN.

“Kena Menteri Besar nasihatkan Sultan, dah Menteri Besar kata macam ini, tak adalah (PRN).

“Sebab saya yang akan mengadap Tuanku untuk menasihatkan Tuanku untuk bubar dewan tapi saya dah berpendirian begini.

“Saya dah beritahu hujung bulan ini barangkali saya akan melancarkan Pelan Perak Sejahtera 2030 sebagai tawaran saya kepada rakyat Perak. Jadi takkanlah saya dah lancar tiba-tiba saya bubar, sekurang-kurangnya bagi peluang kepada saya untuk meneruskan pelan ini.

“Kestabilan itu penting untuk membolehkan kita merancang. Jadi saya tak perlu rasa bimbang kalau da tiga orang PAS menarik diri atau empat orang Bersatu akan tarik diri ke …sebab kita rasa cukup yakin kita ada kekuatan untuk meneruskan kerajaan sedia ada, jadi tunggulah.

“Cuma kalau ada Parlimen dah bubar, negeri kena bubarlah, maka tak adalah PRN Perak ini,” kata Saarani menangkis spekulasi selepas Johor, Perak pula akan adakan PRN.