Jemputan mesyuarat PN bercanggah persetujuan dengan Presiden PAS, Muhyiddin jemput semua Presiden parti bermesyuarat

KUALA LUMPUR, — Kemelut dalaman Perikatan Nasional (PN) memasuki episod baharu apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa jemputan Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi (MT) PN pada 29 Januari ini bercanggah dengan kesepakatan yang telah dicapai bersama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Dalam surat rasmi bertarikh 27 Januari 2026, Presiden BERSATU itu mengarahkan supaya mesyuarat MT PN berkenaan dibatalkan dan digantikan dengan satu pertemuan Majlis Presiden atau pre-council di kediamannya pada tarikh dan masa yang sama.

SuaraTV menerima salinan surat tersebut dan ia telah disahkan oleh sumber BERSATU sebagai tulen dan benar.

Surat itu dialamatkan kepada Abdul Hadi selaku Presiden PAS, Datuk Dr. Dominic Lau (Presiden GERAKAN) serta Tuan Punithan Paramsiven (Presiden MIPP).

Muhyiddin memaklumkan bahawa beliau sebelum ini telah mengadakan pertemuan bersama pimpinan tertinggi PAS pada 16 Januari di kediamannya bagi mencari jalan keluar terhadap kemelut pelantikan Pengerusi PN.

Hasil pertemuan tersebut, menurut beliau, membawa kepada kesepakatan antara BERSATU dan PAS untuk merombak struktur PN dengan mewujudkan Majlis Presiden yang diketuai BERSATU serta Majlis Eksekutif yang diketuai PAS.

Beliau turut menjelaskan bahawa dengan penstrukturan baharu itu, jawatan Pengerusi PN dicadang dimansuhkan dan isu pelantikan pengerusi baharu tidak lagi timbul.

Muhyiddin berkata beliau juga telah menghubungi Presiden GERAKAN dan MIPP bagi memaklumkan persetujuan tersebut dan kedua-duanya menyokong langkah berkenaan.

Namun, beliau mendakwa Timbalan Setiausaha Agung PN telah mengeluarkan notis jemputan Mesyuarat Luar Biasa MT PN pada 29 Januari tanpa pengetahuannya, malah beliau sendiri tidak menerima notis dan tidak diundang.

Notis bertarikh 23 Januari itu turut menyenaraikan agenda pelantikan Pengerusi PN baharu, yang ditegaskan Muhyiddin sebagai tidak selaras dengan persetujuan dicapai bersama PAS pada 16 Januari.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa mesyuarat MT PN wajar dibatalkan dan digantikan dengan pertemuan semua Presiden parti anggota PN di kediamannya pada 29 Januari jam 8.30 malam.

Muhyiddin turut mengingatkan bahawa pre-council antara Presiden parti adalah langkah yang telah dipersetujui sebelum sebarang mesyuarat MT PN diadakan bagi meluluskan pindaan struktur gabungan tersebut.

Surat itu menutup dengan seruan supaya semua parti anggota kembali kepada “landasan kesepakatan” dalam menyelesaikan kemelut PN secara harmoni. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat