DUNGUN: Sistem penebangan pokok secara terpilih mampu memulihara populasi haiwan liar, memastikan ekosistem hutan terjaga dan mengekalkan kelestariannya untuk generasi akan datang.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu Roslan Rani berkata antara kaedah yang diamalkan melalui sistem penebangan itu ialah, dengan meninggalkan lebih 32 pokok bersaiz sederhana dan mengambil hanya 10 atau 12 pokok yang sudah matang di setiap satu hektar kawasan hutan.

“Jabatan Perhutanan ada garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) tertentu untuk dipatuhi, bagi memenuhi spesifikasi sistem penebangan secara terpilih ini, selaras hasrat kita yang komited dalam melaksanakan sistem pengurusan hutan secara berkekalan.

“Ada kriteria untuk menentukan had batas tebangan antaranya membuat bancian pokok, stok kandungan dan kematangan pokok yang boleh ditebang, agar habitat hidupan liar tetap terpelihara,” katanya kepada pemberita selepas majlis gotong-royong sempena Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di bawah Program Penghijauan Malaysia peringkat negeri di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan aktiviti pembalakan telah memberi kesan kepada habitat serta populasi haiwan liar, terutamanya harimau.

Roslan berkata bagi kawasan yang berhampiran sungai pula, ada beberapa kategori zon yang tidak boleh diganggu, seperti zon penampan di kiri dan kanan sungai.

“Kawasan tersebut adalah laluan biasa bagi haiwan dan ia perlu dikekalkan seperti asal. Setiap projek pembinaan yang ingin dilakukan perlu dirancang sebaiknya, untuk mengelak penebangan tidak terkawal.

“Begitu juga dengan pokok buah-buahan, ia tidak boleh ditebang dan setiap pokok matang mempunyai penanda tersendiri dan kaedah penebangan juga adalah berbeza,” katanya.

Pada masa ini, Terengganu mempunyai 480,000 hektar kawasan hutan pengeluaran yang boleh mengeluarkan hasil, serta 120,000 hektar kawasan hutan perlindungan yang tidak akan dibuat sebarang pembangunan, serta 103,000 hektar kawasan yang diwartakan sebagai Taman Negeri.

– BERNAMA