“Jauhkan kawan-kawan anda, musuh anda lebih dekat.”

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – UMNO, Bersatu dan PAS saling memerlukan satu sama lain kerana melalui penyatuan dan kerjasama ini sahaja peluang Melayu majoriti memimpin kerajaan dengan jumlah 147 kerusi sangat tinggi.

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Shahrul Nasrun Kamaruddin menegaskan, ini adalah perkara yang amat ditakuti oleh Pakatan Harapan (PH) -DAP tetapi tidak ramai pemimpin dan ahli Umno BN menyedari hakikat ini.

Beliau turut memetik pakar strategi perang China, Sun Tzu yang mengatakan “keep your friends close, keep your enemy closer atau dalam bahasa Melayu, “jauhkan kawan-kawan anda, musuh anda lebih dekat.”

Dalam ulasan mengenai taktikal politik semasa, Shahrul Nasrun berkata, orang UMNO pasti tidak berminat membaca sehingga penutup artikel ini kerana mereka beranggapan saya cuba mengajak Melayu untuk menyertai parti Bersatu.

“Tidak mengapa.

“Biarkan rakan-rakan UMNO yang tidak mahu menerima hakikat bahawa UMNO tidak akan menerajui kepimpinan negara buat seketika paling kurang satu penggal lagi.

“Tindakan segelintir pemimpin dan ahli UMNO yang memperkecilkan peranan parti Bersatu hanya kerana parti itu memenangi 13 kerusi dalam pilihanraya lalu satu kesilapan besar,” katanya.

Hal ini katanya, kerana tiga parti iaitu UMNO, Bersatu dan PAS saling memerlukan demi kelangsungan orang Melayu untuk kekal memegang kuasa pemerintahan.

Jelas beliau, Muafakat Nasional (MN) menggabungkan UMNO dengan PAS merupakan satu titik penyatuan orang Melayu di negara kita.

“Tetapi MN hanya sekadar satu piagam yang dimeterai membabitkan UMNO dan PAS. Berbeza dengan Perikatan Nasional (PN) kerana ia sebuah parti politik yang didaftarkan dengan ROS.

“Justeru pemimpin UMNO perlu tahu bahawa sekiranya UMNO tak meneruskan kerjasama dengan Bersatu. UMNO akan kehilangan PAS kerana PAS ahli PN bersama Bersatu,” ujarnya.

Shahrul Nasrun berkata, persoalannya, mampukah UMNO BN bangkit bersendirian tanpa PAS dan Bersatu?

“Ya, UMNO BN mampu bangkit semula hanya sekiranya peratusan undi kaum Cina kembali kepada BN melebihi 20 peratus sokongan.

“Sekiranya UMNO BN belum berjaya perolehi sokongan kaum Cina lebih 20 peratus, maaf cakap sukar bagi UMNO BN untuk kembali berkuasa secara sendirian.

“Jumlah kerusi UMNO BN adalah lebih banyak berbanding kerusi Bersatu? Ya, Bersatu asalnya hanya memiliki 13 kerusi sahaja. Namun, faktor jumlah kerusi Bersatu lebih kecil berbanding UMNO tidak lagi boleh digunapakai kerana kini Bersatu menguasai kerajaan,” katanya.

Tambah beliau, apabila UMNO BN kekal bekerjasama dengan Bersatu maka kekuatan yang dimiliki Bersatu iaitu jentera kerajaan akan digunakan untuk membantu kemenangan Umno BN.

Dan katanya, sekiranya UMNO BN memilih untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pasti aset yang dimiliki oleh Bersatu digerakkan untuk lawan UMNO BN.

Selain itu tegas beliau, jika UMNO BN berpendirian untuk menghentikan sebarang kerjasama dengan parti Bersatu maka UMNO BN kehilangan Pas kerana parti Pas merupakan ahli PN.

“Misal kata, BN bertembung dengan PN dan PH, sokongan PAS kepada BN atau PN?

“Jawabnya, PAS pasti menyokong PN kerana mereka adalah ahli dalam PN. Cuba fikirkan sejenak dengan sokongan dan jentera PAS ditambah kekuatan Bersatu yang menguasai kerajaan.

“Adakah peluang Umno kembali memenangi 55 kerusi seperti mana PRU14 yang lalu? Jawapannya, peluang untuk Umno kekal di 55 kerusi amat tipis sebaliknya Umno bakal kehilangan lebih banyak kerusi,”katanya.

Oleh itu, Shahrul Nasrun memberitahu, memutuskan kerjasama dengan PN iaitu Bersatu bakal mengukuhkan kedudukan parti Bersatu di kalangan orang Melayu.

“Saya percaya, Bersatu tidak ke mana selepas era Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana dalam Bersatu tiada pemimpin yang mampu untuk mengukuhkan parti Bersatu.

“Saya merasakan tidak mustahil Bersatu akan terbubar sendirinya dan ke semua menyertai Umno sepertimana parti Semangat 46,” katanya. -SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat