KARAMBUNAI -Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan menegaskan orang Sabah sepatutnya boleh melangkah lebih jauh dalam politik tanpa harus terikat dengan laungan Sabah for Sabahan yang dimainkan sejak tahun 80-an.
Pesuruhjaya Pas Sabah itu tampil dengan slogan yang berbeza iaitu Sabah for Malaysia kerana yakin orang Sabah juga boleh memimpin negara.
“Saya rasa ini satu pendekatan yang baru dan kita harus dukung, Sabah for Sabahan ini sudah lama hanya tinggal sebagai retorik semata-mata walaupun memang hasrat kita Sabah untuk Sabahan.
“Tapi saya rasa orang Sabah boleh pergi lebih jauh. Jangan kita terikat dengan budaya yang saya rasa budaya yang sempit. Kerana saya rasa orang Sabah ini boleh memimpin negara.
“Sabah ini kita tak pernah lagi menjadi Timbalan Perdana Menteri, Sarawak sudah ada. Justeru saya rasa arah kita begitu.
“Sebab itu hasrat saya suatu masa nanti tidak salah dan tidak perlu dielakkan Sabahan kena jadi Perdana Menteri dan dalam keadaan sekarang Sabah masih jauh tertinggal ke belakang walaupun Sabah for Sabahan itu sudah lama… sejak tahun 80 an, namun tidak membawa banyak makna kepada perubahan negeri Sabah,” kata Aliakbar dalam audio siara SuaraTV.
Hal demikian beliau merasakan orang Sabah wajar pergi lebih jauh.
“Malaysia ini kita punya, maka Sabahan harus jadi suara penting dalam mengubah Sabah ini,” seru Aliakbar.



