KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, bertitah menasihatkan umat Islam di seluruh negara supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan ajaran sesat atau fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.
Baginda bertitah, penularan ajaran dan fahaman yang menyimpang kini semakin membimbangkan, terutama melalui media sosial.
“Hari ini, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad dan bersama Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Nasri Ali.
“Pada sesi mengadap bersama Yang di-Pertuan Agong, Mufti Johor mempersembahkan usaha-usaha yang dilaksanakan oleh JAINJ dalam membanteras ajaran sesat di Johor.
“JAINJ mengambil pelbagai langkah dalam membendung penularan ajaran sesat di Johor, selain memantau cubaan menyebarkan (ajaran sesat) terutama mereka dari luar Johor,” katanya.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan nasihat supaya umat Islam sentiasa meningkatkan ilmu agama, memperkukuh kefahaman serta mengamalkan nilai-nilai Islam yang sebenar.



