Malaysia Pacu Integrasi Grid Tenaga ASEAN (APG): Transformasi Peralihan Tenaga Serantau

DALAM Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur pada Mei 2025, Malaysia menampilkan hala tuju tenaga serantau yang lebih berani berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan komitmen Malaysia memimpin fasa pertama penyepaduan grid tenaga ASEAN melalui perancangan sambungan Vietnam-Malaysia-Singapura satu langkah besar yang menandakan ASEAN kini bergerak daripada retorik kepada pelaksanaan projek sebenar yang memberi impak ekonomi dan kelestarian kepada rantau ini.

Komitmen itu bukan pengumuman sekali lalu. Ia ditegaskan semula dalam lawatan rasmi Perdana Menteri Vietnam pada Julai 2025 dan sekali lagi ketika sambutan Hari ASEAN ke-58 pada Ogos. Ini membuktikan kesinambungan dasar Malaysia selaku penyelaras utama hubungan tenaga rentas sempadan ASEAN.

Dalam kerangka lebih luas, Malaysia memperlihatkan kesediaan memainkan peranan sebagai “hub transit tenaga” yang menghubungkan sumber boleh diperbaharui dari Indochina ke Singapura dan rantau maritim ASEAN.

Namun, di sebalik dasar di peringkat ketua kerajaan, satu lagi tonggak penting terus mengukuhkan kedudukan negara peranan aktif Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau mengetuai penyediaan rangka kerja teknikal, rundingan antara menteri, penyelarasan piawaian dan mekanisme pelaksanaan bagi menyokong teras sebenar ASEAN Power Grid (APG).

Dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) 2024–2025, Fadillah menegaskan bahawa ASEAN tidak lagi boleh bergantung pada projek dwihala kecil mengikut keperluan negara masing-masing.

Dalam kenyataan kepada The Edge Malaysia, beliau menjelaskan bahawa APG mesti menjadi platform penyepaduan tenaga yang stabil, mampu milik dan mesra pelaburan, terutama ketika tenaga boleh diperbaharui berkembang pesat tetapi penyampaian masih terpecah-pecah akibat perbezaan teknikal.

Beliau turut mengingatkan bahawa tanpa keseragaman standard, perdagangan tenaga rentas sempadan berisiko tinggi dipengaruhi turun naik harga komoditi dan sentimen politik. Pandangan ini turut disokong penyelidik CSIS Indonesia, Ardhi Rasy Wardhana, yang menyeru ASEAN bergerak ke arah perjanjian tenaga multilateral yang benar-benar mengikat.

Dalam ASEAN Energy Business Forum (AEBF), Fadillah menegaskan Malaysia bersedia memainkan peranan lebih besar dalam eksport tenaga bersih termasuk solar, biojisim, hidro dan hidrogen hijau. Komitmen ini disokong projek konkrit seperti kerjasama tenaga 1GW antara Sarawak dan Singapura serta langkah awal eksport hidrogen hijau Sarawak bersama rakan teknologi Jepun dan Korea Selatan.

Di Borneo, Sarawak dan Sabah dijangka akan turut menyokong ke arah pelaksanaan APG. Projek sambungan grid 34 kilometer antara kedua-dua negeri yang dijangka siap pada akhir 2025 bakal membuka laluan kepada integrasi sebenar grid Borneo yang menyokong kepada rangkaian grid tenaga ASEAN.

Dalam skala lebih besar, Malaysia, Singapura dan Vietnam kini meneroka laluan penghantaran tenaga boleh diperbaharui dari Vietnam ke Singapura melalui Malaysia gabungan kabel dasar laut dan infrastruktur daratan. Jika direalisasikan, Malaysia bukan sekadar pembekal, tetapi juga negara transit strategik bagi tenaga bersih Indochina-Maritim ASEAN.

Walaupun ASEAN mencatat pelaburan tenaga boleh diperbaharui sebanyak AS$43 bilion pada 2022, integrasi teknikal masih mencabar. Projek besar seperti BIMP-PIP memerlukan pembiayaan tinggi dan penyelesaian teknikal rentas wilayah.

Justeru, Malaysia melalui PETRA mencadangkan “MoU Dipertingkatkan” bagi APG yang merangkumi penjajaran teknikal, mekanisme pembiayaan dan jadual pelaksanaan lebih tegas. Cadangan ini turut direkodkan dalam beberapa Joint Media Statements AMEM+3, yang menonjolkan Malaysia sebagai negara paling konsisten mendesak piawaian serantau.

Menariknya, Fadillah juga antara menteri ASEAN yang paling terbuka membincangkan peranan tenaga nuklear generasi baharu. Dalam ucapannya di AEBF, beliau menyatakan Malaysia tidak menolak penggunaan reaktor modular kecil (SMR) sebagai sebahagian penyelesaian tenaga baseload rendah karbon, namun keputusan hanya selepas kajian kebolehlaksanaan pasca 2030.

Malaysia kini bergerak daripada pengguna tenaga pasif kepada pembentuk agenda tenaga ASEAN. Peralihan ini bukan sekadar urusan teknikal, tetapi strategi ekonomi dan geopolitik yang bakal menentukan daya saing rantau ini dalam industri masa depan seperti pusat data, semikonduktor, mobiliti elektrik dan ekonomi hidrogen.

Di tengah transformasi ini, Fadillah muncul sebagai arkitek utama yang membentuk corak baharu tenaga ASEAN. Jika penyepaduan grid tenaga serantau berjaya direalisasikan, ia bakal menjadi antara pencapaian paling signifikan Malaysia dalam landskap tenaga abad ke-21.

 

 

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat