Ara Johari bawakan identiti muzik ‘Galau’ dengan single terbaru “Terlalu Bodoh”

Dalam industri muzik yang sentiasa berubah dengan trend baharu, penyanyi berbakat Ara Johari tetap teguh dengan identiti yang telah membentuk dirinya sejak awal kemunculan: lagu-lagu beremosi, jujur dan dekat dengan realiti kehidupan. Terbaru, Ara kembali dengan single berjudul Terlalu Bodoh, sebuah karya yang bukan sahaja meneruskan kesinambungan daripada lagu hitnya Menjaga Jodoh Orang Lain (MJOL), tetapi turut menunjukkan bagaimana penyanyi ini semakin matang dalam menyampaikan cerita dan rasa.

Jika MJOL menjadi fenomena dengan lebih 75 juta jumlah pendengar sejak dilancarkan pada 2024, Terlalu Bodoh pula memperlihatkan sisi Ara yang lebih berani menyelam ke dalam kedalaman luka dan kekecewaan cinta. Lagu ciptaan komposer terkenal seberang, Ilham Baso, ini mengekalkan sentuhan ‘galau’ yang sudah sinonim dengan Ara namun dengan dimensi emosi yang lebih mentah dan terus terang.

Bagi Ara, karya baharu ini bukan sekadar lagu putus cinta, tetapi gambaran sebenar bagaimana manusia kadangkala terperangkap dalam hubungan yang menyakitkan.

“Ara nak ceritakan tentang seseorang yang berkorban sepenuh hati tetapi tetap dicurangi. Realitinya, ramai yang pernah rasa ‘bodoh’ kerana terlalu mencintai. Sebab itu lagu ini sangat dekat dengan hati Ara,” katanya.

Lebih menarik, proses pembikinan lagu ini berjalan di Indonesia pada September lalu, menyaksikan Ara sekali lagi berganding dengan pasukan kreatif yang telah meletakkan MJOL di puncak  Ilham Baso selaku komposer, Adrian Rahmat Purwanto sebagai penggubah muzik dan Bowo Soulmate sebagai jurulatih vokal.

Kesetiaan Ara terhadap pasukan kreatif yang sama membuktikan komitmennya untuk menjaga kesinambungan naratif dan jiwa muziknya. Ia juga menunjukkan keyakinan Ara terhadap formula muzik yang menjadi kekuatannya: bercerita dari hati.

Dengan edaran oleh Universal Music Malaysia, Terlalu Bodoh kini boleh didengarkan di semua platform digital sejak 19 November lalu. Walaupun baharu dilancarkan, lagu ini sudah mula menarik perhatian peminat muzik ‘galau’ tempatan yang merindukan karya yang mampu menyentuh perasaan sebenar.

Secara tidak langsung, Terlalu Bodoh menegaskan satu perkara: Ara Johari bukan sekadar penyanyi lagu sedih beliau adalah suara kepada mereka yang pernah terluka, tetapi tetap memilih untuk mencintai.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat