KOTA MARUDU — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Sabah, khususnya pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau, supaya memilih wakil rakyat yang mudah berunding dan mampu bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pembangunan dapat dilaksana dengan lebih cepat serta berkesan.
Anwar berkata kerjasama yang baik antara wakil rakyat dan kerajaan pusat menjadi faktor utama penyelesaian isu rakyat di peringkat setempat.
“Pilih wakil yang boleh runding dengan saya, yang jaga Bandau. Bila Zaidi menang, saya bagi tempoh sebulan untuk senaraikan semua masalah di Bandau.
“Sebulan atau minggu pertama Januari 2026, kita usahakan untuk selesaikan seberapa banyak yang mampu,” jelas beliau ketika berucap pada Program Temu Rapat PMX Sayang Sabah.
Beliau turut menegaskan kepentingan memberi sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH), Zaidi Jatil, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 bagi memastikan agenda pembangunan di kawasan itu dapat dilaksanakan tanpa halangan.
Menurut Anwar, kehadirannya ke Bandau yang terletak kira-kira 124 kilometer dari Kota Kinabalu bertujuan meninjau sendiri keadaan di kawasan tersebut yang menyaksikan saingan 13 penjuru pada PRN kali ini, dan berpotensi dimenangi PH.
Sementara itu, Anwar memuji kebijaksanaan rakyat Sabah yang berjaya mengekalkan keharmonian meskipun terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang.
“Negeri ini aman kerana rakyat bijak. Suku kaum lain-lain, warna kulit lain-lain, agama lain-lain tetapi semua bekerjasama. Sebab itu Sabah kekal aman,” katanya.
Dalam ucapannya, Anwar sekali lagi menegaskan komitmen kerajaan Persekutuan terhadap pelaksanaan pemulangan 40 peratus hasil Sabah, sambil memaklumkan bahawa kerajaan pusat dan kerajaan negeri akhirnya mencapai persetujuan untuk melaksanakan tuntutan tersebut.
Beliau turut menyenaraikan beberapa langkah penting yang telah dibuat kerajaan, termasuk kenaikan gaji penjawat awam tertinggi dalam sejarah, peningkatan gaji minimum kepada RM1,700, pemotongan gaji menteri sebanyak 20 peratus serta keputusannya untuk tidak mengambil gaji sebagai Perdana Menteri.



