Kerajaan giat kurangkan defisit fiskal tanpa perkenal semula GST

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan kini giat berusaha untuk terus mengurangkan defisit fiskal yang mereda kepada 5.6 peratus pada tahun lalu selepas mencecah 6.4 peratus pada 2021 dalam persekitaran pandemik yang memerlukan perbelanjaan bagi merangsang ekonomi serta melindungi mata pencarian rakyat.

Malah, pelbagai inisiatif bagi memastikan pengurusan kewangan yang mapan serta berkesan untuk negara ini telah menjadi keutamaan bagi Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di bawah Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) 2021-2025 yang dilancarkan pada September 2023, kerajaan dengan jelas menyatakan hasrat untuk mengenal pasti langkah bagi memperluas hasil fiskalnya, termasuk menerusi usaha menambahbaik kutipan cukai dengan menggalakkan pengakuan cukai secara sukarela dan memperkenalkan e-invois.

Di sebalik ura-ura mengenai langkah untuk memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi melonjakkan lagi hasil fiskal kerajaan, Anwar yang juga Menteri Kewangan, tetap berpendirian tegas bahawa pentadbiran beliau tidak akan membebankan rakyat dengan mengenakan cukai yang melangkaui kemampuan mereka.

Walaupun pihak Perbendaharaan tidak menafikan potensi GST untuk menjana lebih banyak hasil berikutan asasnya yang meluas dan lebih telus kepada pengguna berikutan paparannya dalam harga akhir, ia sebaliknya memilih untuk mengutamakan pengurusan subsidi yang disediakan untuk rakyat.

Ini berikutan Malaysia melaksanakan pemberian subsidi menyeluruh ke atas bahan api dan minyak masak yang juga komponen perbelanjaan terbesar selain subsidi elektrik, gula dan tepung.

Realitinya, sebagaimana ditegaskan oleh Perdana Menteri, subsidi ini perlu disasarkan kerana kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan kemudahan itu turut dinikmati oleh golongan kaya selain dapat membantu kerajaan menguruskan pendapatan dan perbelanjaan secara lebih baik.

Jika diamati, Malaysia telah melaksanakan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) satu peringkat sejak 1972 yang kemudiannya digantikan dengan GST pada kadar 6.0 peratus bagi tempoh April 2015 hingga Mei 2018 sebelum dilaksanakan semula pada 1 September 2018, lapor Bernama.

Ahli Ekonomi RHB Bank Bhd, Chin Yee Sian, berkata jika GST berkadar 6.0 peratus itu dilaksanakan semula pada 2024, anggaran kutipannya adalah kira-kira RM63.5 bilion – angka yang hampir dua kali ganda daripada kutipan SST sebanyak RM35.8 bilion yang diunjurkan oleh kerajaan.

Jelas beliau lagi, bagi mencapai sasaran defisit fiskal sebanyak 3.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), penghapusan sepenuhnya subsidi bahan api itu dilihat perlu atau gabungan sekurang-kurangnya GST pada kadar 4.0 peratus dan pengurangan subsidi bahan api sebanyak 90 peratus.

“Bagi mencapai belanjawan yang seimbang, apa yang diperlukan adalah GST berkadar 10 peratus serta pengurangan subsidi bahan api sebanyak 70 peratus,” katanya dalam nota penyelidikan pada 1 November 2023.

Walaupun tanpa pelaksanaan semula GST, kerajaan telah bertindak memperkenalkan beberapa langkah cukai baharu dalam Belanjawan 2023 yang disemak semula dalam usaha meningkatkan tabungan seperti menaikkan cukai pendapatan sebanyak 0.5 mata peratus hingga dua mata peratusan bagi mereka yang berpendapatan lebih RM100,000 hingga RM1 juta.

Tidak setakat itu, beberapa perubahan turut membabitkan beberapa cukai baharu yang dicadangkan dalam Belanjawan sebelumnya.

Ini termasuk cukai mewah yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2023 disemak semula dan telah digantikan dengan cukai barang bernilai tinggi yang dicadangkan dalam Belanjawan 2024 iaitu cukai pada kadar 5.0 hingga 10 peratus dikenakan ke atas barangan bernilai tinggi tertentu seperti barang kemas dan jam tangan mewah berdasarkan nilai ambangnya mulai 1 Mei 2024.

Selain itu, cukai pada kadar 10 peratus untuk barangan bernilai rendah (LVG) yang sepatutnya dikenakan ke atas barangan dijual di bawah RM500 menerusi dalam talian berkuat kuasa 1 April 2023, di bawah Belanjawan 2022 pula ditangguhkan terus.

Bagi cukai minimum global (GMT) sebanyak 15 peratus yang pertama kali diperkenalkan dalam Belanjawan 2023 ke atas syarikat dengan perolehan global tahunan sekurang-kurangnya sebanyak 750 juta euro, kerajaan telah menangguhkan pelaksanaannya kepada 2025 daripada 2024 yang dicadangkan dalam Belanjawan 2024.

Mengulas perkara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan pada April lalu berkata, GMT mampu menghasilkan kutipan cukai tambahan sebanyak RM1 bilion pada permulaannya.

Dalam pada itu, laporan tinjauan fiskal menyatakan bahawa hasil cukai dianggarkan meningkat sebanyak 9.7 peratus kepada RM229 bilion atau 12.4 peratus daripada KDNK pada 2023 berbanding 2022.

Peningkatan prestasi itu dijangka dipacu oleh kutipan cukai pendapatan yang lebih baik, langkah-langkah diumumkan dalam Belanjawan 2023 serta usaha berterusan kerajaan bagi mengembangkan lagi asas pendapatan, katanya.

“Hasil Kerajaan Persekutuan dianggarkan meningkat 3.0 peratus kepada RM303.2 bilion atau 16.4 peratus daripada KDNK berbanding 2022,” katanya.

Kementerian Kewangan (MoF) mengunjurkan kutipan hasil Kerajaan Persekutuan mencatat RM307.6 bilion atau 15.6 peratus daripada KDNK pada 2024, didorong oleh kutipan cukai lebih tinggi, termasuk beberapa cadangan langkah dalam Belanjawan 2024 untuk mencapai matlamat berkenaan.

Sebagai contoh, cukai jualan lebih tinggi sebanyak 8.0 peratus daripada 6.0 peratus pada masa ini akan dikenakan ke atas perkhidmatan bercukai termasuk logistik, pembrokeran, penajajaminan dan perkhidmatan karaoke manakala perkhidmatan seperti makanan dan minuman, telekomunikasi, tempat letak kenderaan dikecualikan.

Kerajaan akan turut melaksanakan e-invois secara mandatori kepada pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta bermula 1 Ogos, 2024 selain menguatkuasakan cukai keuntungan modal (CGT) sebanyak 10 peratus ke atas keuntungan bersih daripada pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan mulai 1 Mac 2024.

Mengikut Belanjawan 2024, Malaysia juga dijangka menyaksikan defisit fiskal yang mengecil kepada 4.3 peratus daripada KDNK pada 2024 daripada sasaran 5.0 peratus yang diunjurkan pada 2023 dan 5.6 peratus pada 2022.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat