Bekas pemimpin DAP tubuh parti baru Urimai untuk masyarakat India

- Advertisement -

GEORGE TOWN – Bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy menubuhkan parti baharu untuk masyarakat India iaitu Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai).

Ramasamy yang juga bekas pemimpin DAP itu berkata, Urimai (dalam bahasa Tamil) membawa maksud hak rakyat, kaum atau sebagainya.

Kata beliau, pihaknya telah menyerahkan urusan pendaftaran parti baharu itu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

“Semalam telah diadakan pelancaran pergerakan parti baharu ini di Kuala Lumpur, ia bertujuan memperkenalkan pergerakan ini kepada masyarakat khususnya masyarakat India, malah kita turut melantik koordinator di setiap negeri.

”Kami juga telah menyerahkan pendaftaran kepada RoS dan menunggu kelulusan, kita tidak tahu berapa lama masa yang akan diambil sebelum pendaftaran parti diluluskan,” katanya di sini hari ini.

Ramasamy adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai dan Ahli Parlimen Batu Kawan daripada DAP.

Beliau berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang sejak 2008 sebelum digugurkan sebagai calon pada pilihan raya negeri (PRN), Ogos lalu.

Beliau kemudian meninggalkan DAP tetapi menegaskan ia bukan disebabkan digugurkan sebagai calon tetapi kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti.

Yang turut serta dalam penubuhan parti Urimai ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam; M. Satees dan bekas Ketua Cawangan DAP Batu Kawan, David Marshel.

Menurut Ramasamy, meskipun parti seperti DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di bawah Pakatan Harapan (PH) mempunyai wakil rakyat kaum India, tetapi disifatkan gagal membawa isu-isu untuk memperjuangkan kaum berkenaan.

“Dahulu sebelum PKR dan DAP menjadi kerajaan mereka memang adalah parti pembangkang yang hebat, mereka menyuarakan hak asasi rakyat, menyuarakan hak bukan Melayu dan sebagainya.

“Tetapi apabila mereka menjadi komponen kerajaan, sekarang mereka macam pasif, tidak mahu bincang apa-apa isu kontroversi atau hak berbilang kaum,” katanya.

Tambahnya, walaupun parti Urimai akan memberi tumpuan kepada kaum India, namun parti itu turut terbuka kepada semua kaum. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat