Tiada Lagi Kompromi Majikan Tidak Patuh Akta 466

- Advertisement -

IPOH – Jabatan Tenaga Kerja (JTK) tidak akan berkompromi lagi terhadap majikan yang gagal mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) memandangkan mereka telah diberi kelonggaran selama tiga bulan untuk mematuhi akta yang dikuatkuasakan pada Jun lepas itu.

Pengarah Standard Perburuhan JTK Semenanjung Malaysia Mohd Asri Abdul Wahab berkata mulai sekarang, jabatan itu tidak lagi akan memberi nasihat atau amaran, sebaliknya akan terus menguatkuasakan akta tersebut.

“Akta ini sudah dikuatkuasakan pada Jun 2020, kemudian diberi kelonggaran hingga 1 Sept, sekarang ini sudah bulan November, sudah lebih dua bulan kelonggaran diberikan, pihak majikan sepatutnya sedar akan perkara ini.

“Mulai sekarang JTK akan kuatkuasakan sepenuhnya Akta 446. Kalau kita pergi ke tempat pekerjaan atau penginapan pekerja dan didapati melanggar akta ini, kita akan terus buka kertas siasatan bawa majikan ke pengadilan biar mahkamah putuskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika operasi Akta 466 di sebuah asrama kilang di Persiaran Taman Tasek di sini hari ini yang dijalankan bermula 9 pagi hingga 5 petang, melibatkan lebih 20 pegawai dan anggota termasuk daripada Jabatan Kesihatan Perak.

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata setiap majikan boleh membuat permohonan surat perakuan penginapan melalui dalam talian dan kegagalan mendapatkan surat perakuan tersebut merupakan satu kesalahan yang boleh didenda hingga RM50,000 bagi seorang pekerja.

“Saya menyeru majikan yang menyediakan penginapan supaya berhubung dengan JTK bagi mendapatkan surat perakuan dan kita akan bantu untuk memastikan penginapan pekerja menjadi baik,” katanya.

Bercakap mengenai operasi hari ini, Mohd Asri berkata operasi dijalankan secara serentak di lima negeri iaitu Negeri Sembilan, Johor, Kelantan, Kedah dan Perak.

Berdasarkan pemantauan awal di Perak, beliau berkata premis yang diperiksa tidak memuaskan kerana jumlah pekerja di asrama itu melebihi kapasiti yang sepatutnya.

“Secara kasar, bila masuk ke rumah yang dijadikan asrama ini dan melihat ada tempat tidur di ruang tamu, itu sudah menjadi satu kesalahan dan bermakna ada lebihan pekerja di dalam rumah ini,” katanya.

Penguatkuasaan Akta 446 dilakukan sebagai usaha negara membanteras elemen buruh paksa dan pemerdagangan orang dalam industri perburuhan.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat