Jaga silaturahim petua Nana jadi pujaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Selebriti dan peminat bagaikan irama dan lagu. Jika dipisahkan, rosaklah lagu dan pincanglah irama.

Tanpa peminat, kerjaya seseorang selebriti tidak mungkin berdiri teguh.

Populariti pula tidak hadir memuncak tanpa sokongan peminat setia.

Hari ini, kebangkitan seseorang selebriti dilihat kuat dipengaruhi kelab peminat. Tanpa kerjasama erat antara dua kelompok ini, sukar buat seseorang yang terbabit dalam bidang hiburan memacu ke puncak kemasyhuran. Sudahnya, tanpa sokongan peminat setia, populariti hanya seketika tanpa mampu dipertahankan.

Kelab peminat atau FC kini dianggap sebagai tulang belakang dan kekuatan seseorang selebriti untuk kekal bertahan, sebaris dengan artis popular lain.

Melihat kebangkitan penyanyi Terus Mencintai dan Cukup Derita Itu, Siti Nordiana, 37, meraih sokongan berterusan sejak diangkat juara program realiti, Gegar Vaganza musim kedua pada 2015, ia bukanlah usaha seorang diri.

Satu demi satu trofi dalam genggaman Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana sejak enam tahun lalu, termasuklah membolosi dan memenangi Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH), saban tahun.

Wanita kelahiran Felda Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan itu akui, segala pencapaian diraih sepanjang bergelar anak seni tidak akan menjadi miliknya tanpa sokongan peminat.

Katanya, dia cukup menjaga silaturahim bersama peminat terutama kelab peminat, Siti Nordiana FC.

Jadi, tidak hairan nama Nana terus utuh, sedangkan ramai penyanyi seangkatan dengannya sudah lama berkubur.

Namun begitu, Nana berkata, dia tetap mengekalkan sikap merendah diri.

“Saya tidak nafikan, pelbagai kejayaan diraih selepas diangkat sebagai juara program realiti, Gegar Vaganza, enam tahun lalu.

“Alhamdulillah, saya tidak pernah terfikir mampu melangkaui sejauh ini. Bagaimanapun, mengenali Siti Nordiana FC, mereka sentiasa ‘all out’ dan akan lakukan yang terbaik.

“Mereka tidak pernah kenal erti putus asa, sebaliknya sanggup berjuang hingga garisan terakhir. Dalam soal strategi, saya langsung tidak campur tangan, semuanya saya serahkan kepada Siti Nordiana FC, namun saya akan menyokong terhadap usaha yang dilakukan.

“Saya bertuah mempunyai presiden yang bersungguh-sungguh berbincang dengan ahli kelab peminat apa yang ingin dilakukan. Namun, saya tidak pernah meletakkan harapan tinggi, menang atau kalah adalah rezeki.

“Sekurang-kurangnya, kita sudah berusaha, selebihnya hanya mampu berserah kepada Allah,” katanya kepada BH Online.

 

Kemenangannya dalam ABPBH memberi impak besar terhadap perjalanan kerjaya seni Siti Nordiana. - Foto IG Siti Nordiana
Kemenangannya dalam ABPBH memberi impak besar terhadap perjalanan kerjaya seni Siti Nordiana. – Foto IG Siti Nordiana

 

Nasib terus memihak kepada pelakon drama Dia Semanis Honey dan Satukan Rasa itu apabila sekali lagi membolosi kelompok Top 5, Penyanyi Wanita Popular Xiaomi dan Artis Versatil Popular, ABPBH 34.

Malah, nama Nana juga dalam senarai 10 artis yang undian tertinggi di peringkat awal menerusi anugerah berprestij yang bakal berlangsung pada 13 November ini dengan tema #KITABERSAMA.

Terdahulu, Nana pernah dua kali menggenggam trofi Penyanyi Wanita Popular pada 2017 dan 2019, selain kategori Artis YouTube Popular, ABPBH 29 serta Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular bersama Khai Bahar dan Artis Versatil Popular pada ABPBH 33.

Nana berkata, dia bertuah kelab peminat tidak pernah berkira, biarpun mereka bukanlah ahli keluarga dan darah daging.

Katanya, pengorbanan mereka terlalu besar hingga tidak termampu untuk membalasnya, hanya mohon agar Tuhan membalas jasa yang banyak dicurahkan.

“Saya tak mampu membalas jasa dan kebaikan peminat yang tidak pernah berkira dengan saya. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas budi mereka.

“Saya hanya dapat mendoakan kebaikan di mana sahaja mereka berada. Insya-Allah, saya bercadang membuat sesi santai bersama peminat.

“Sebelum ini, saya sering menganjurkan majlis bersama peminat, namun banyak aktiviti tidak dapat diteruskan sejak pandemik COVID-19 menular,” katanya.

Mengulas impak ABPBH, Nana berkata, kemenangannya dalam ABPBH memberi impak besar terhadap perjalanan kerjaya seninya.

“ABPBH mempengaruhi populariti dan kecemerlangan terhadap kerjaya seni. Kemenangan memberikan banyak manfaat, bukan sahaja dalam bidang nyanyian, malah saya menerima banyak tawaran berlakon dan menjadi duta produk,” katanya ibu kepada cahaya mata, Muhammad Rayyan Nakhaie, 14.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat