Air bukan sekadar sumber alam, tetapi nadi kehidupan dan simbol kepercayaan rakyat terhadap kerajaan. Malaysia bertuah kerana dianugerahkan taburan hujan sepanjang tahun, rangkaian sungai yang luas, serta empangan yang mampu membekalkan bekalan air mentah mencukupi. Keadaan ini bagaimanapun hanya bermakna apabila diurus secara berkesan, dengan kerjasama erat antara kerajaan pusat dan negeri demi memastikan setiap titis air bersih sampai kepada rakyat secara tersusun dan berdaya tahan.
Kerangka Tadbir Urus bagi Menghormati Peranan Negeri, Memperkukuh Piawaian Nasional
Setiap negeri mempunyai keunikan dalam pengurusan bekalan air. Walaupun wujud perbezaan dari segi infrastruktur dan keutamaan, inilah yang menjadikan fungsi SPAN sebagai regulator dan PETRA sebagai penyelaras dasar semakin penting. Kedua-dua agensi ini memastikan piawaian kebangsaan dipenuhi, sambil menghormati bidang kuasa negeri dalam menguruskan perkhidmatan air kepada rakyat.
Cabaran Sebagai Pemangkin Reformasi
Masalah tekanan air rendah, kebocoran paip, dan keperluan menaik taraf loji rawatan bukanlah sekadar cabaran; ia membuka ruang kepada pembaharuan. Melalui pemodenan teknologi rawatan dan pengurangan kadar Air Tidak Terhasil (NRW), PETRA bersama SPAN memacu inisiatif strategik, membiayai infrastruktur, serta berkongsi kepakaran teknikal agar kelemahan hari ini berubah menjadi kekuatan esok.
Mandat PETRA: Pemacu Transformasi Air Nasional
Mandat PETRA bukanlah hanya untukmenggantikan negeri, tetapi memperkukuh mereka. Dengan pendekatan yang inklusif, PETRA berusaha memastikan setiap rakyat, tidak kira di Sabah, Kelantan, Pahang, Kedah mahupun di negeri-negeri lain, mendapat akses kepada air bersih yang selamat. Melalui penyelarasan dasar, penyediaan garis panduan, serta pelaksanaan Pelan Transformasi Air 2040, PETRA dan SPAN membina keyakinan bahawa masa depan pengurusan air negara akan lebih mampan dan terjamin.
Indikator Prestasi dan Halatuju Strategik
Antara hala tuju utama PETRA ialah:
•Mengurangkan kadar Air Tidak Terhasil (NRW) sebanyak 28.5% menjelang 2030;
•Menurunkan penggunaan air domestik kepada 200 liter per kapita sehari menjelang 2025;
•Meningkatkan keterjaminan sekuriti air melalui rizab margin;
•Memperluas penggunaan air pulih guna sebagai sumber alternatif.
Kesemua ini jelas mencerminkan pendekatan progresif PETRA dalam mengimbangi keperluan rakyat, kelestarian ekosistem dan daya tahan ekonomi.
Visi Kepimpinan PETRA dan Dimensi Strategik
Dalam sebuah forum baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA, Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan:
“Pengurusan air harus dilaksanakan secara holistik merangkumi aspek bekalan, kualiti air, pengairan, pengurusan banjir serta pemuliharaan ekosistem. Penyertaan aktif semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan, swasta, masyarakat sivil, institusi pendidikan dan komuniti akar umbi adalah amat mustahak.”
Beliau turut mengingatkan bahawa air kini adalah “the new oil” yang mana sumber strategik yang menentukan kemampanan ekonomi dan ekologi sejagat. Kenyataan ini menzahirkan iltizam PETRA untuk memacu pembaharuan, bukan hanya melalui pembinaan loji baharu atau penggantian paip lama, tetapi melalui pendekatan inklusif berasaskan data saintifik, indikator prestasi dan kajian impak.
Menghubungkan Persekutuan & Negeri
Walaupun terdapat cabaran infrastruktur lama dan perbezaan kemampuan negeri, PETRA mengambil pendekatan menyatukan kepelbagaian ini melalui dialog, perkongsian teknologi, serta sokongan teknikal. Peranan SPAN pula memastikan penguatkuasaan piawaian kebangsaan tetap terjaga tanpa menjejaskan prerogatif negeri. Inilah kekuatan sistem dua lapis iaitu apabila kuasa negeri dihormati, sementara rakyat tetap dilindungi dengan piawaian minimum yang adil dan saksama.
Agenda Masa Depan ke Arah Digitalisasi dan Literasi Air
Masa depan sektor air menuntut keberanian untuk berinovasi. PETRA telah merintis langkah-langkah baharu melalui digitalisasi sistem agihan, penggunaan sensor pintar, kerjasama awam–swasta serta pendidikan awam tentang nilai air. Semua ini dilaksanakan dengan matlamat jangka panjang agar rakyat lebih menghargai air sebagai sumber strategik yang tidak boleh dianggap murah tanpa had.
Air Sebagai Indikator Tadbir Urus Nasional
Air bukan sekadar isu teknikal, ia adalah cermin tadbir urus negara. Malaysia boleh bercakap tentang tenaga nuklear, teknologi hijau atau projek mega, tetapi jika paip rumah rakyat mengalirkan air bersih dengan konsisten, maka keyakinan rakyat kepada kerajaan akan semakin kukuh.
Menyusun Harapan Mampan
Trajektori PETRA adalah panjang tetapi berfasa, berasaskan strategi teknokratik yang jelas. Dengan koordinasi erat antara pusat dan negeri, mekanisme piawaian kebangsaan, serta visi kepimpinan yang inklusif, sektor air negara diyakini mampu keluar daripada kitaran krisis kepada satu model pengurusan yang mampan, berdaya tahan dan diyakini rakyat.
“Air bukan sekadar mengalir di paip, tetapi mengalirkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan.” – SUARA.TV



