CYBERJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak tuduhan bahawa kerajaan Madani menentang Islam, sambil menyifatkan dakwaan itu hanya dimainkan oleh pihak pembangkang demi kepentingan politik.
Berucap pada sambutan ulang tahun ke-27 Reformasi PKR di Melaka, Anwar menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya komited memperkukuh agenda Islam, malah menambah peruntukan untuk pendidikan agama dan tahfiz.
“Saya jarang komen tentang orang, tapi bila dengar seorang Ahli Parlimen kata ‘maruah kita sudah rosak’, saya hendak tanya, masa mereka perintah dulu, PAS bersama kerajaan, judi ditambah atau tidak?
Jangan bercakap ikut nafsu, berlapik dengan agama tetapi hakikatnya bercanggah,” katanya, dipetik Bernama.
Anwar turut membandingkan rekod pentadbiran Perikatan Nasional (PN), yang menurutnya gagal memperkukuh institusi Islam, malah menambah lesen khas nombor ramalan ketika PAS berada dalam kerajaan.
“Bandingkan kerajaan Madani dengan PN. Program Islam apa mereka buat di Kementerian Pendidikan? Judi mereka tambah sampai 22 kali cabutan. Tapi PAS tidak wajar kritik kerana ketika mereka dalam kerajaan, merekalah yang menaikkan jumlah itu,” katanya.
Perdana Menteri berkata, beliau terbuka menerima teguran sekiranya ia berlandaskan niat baik untuk memperbaiki akhlak selaras gagasan Madani, namun menolak sebarang tuduhan bahawa kerajaan anti-Islam.
“Di mana kita menentang Islam? Peruntukan untuk Islam kita tambah, maahad tahfiz kita bantu, anak-anak huffaz kita bawa ke TVET serta diberi latihan,” jelasnya.
Dalam ucapannya, Anwar juga menegaskan bahawa perjuangan Reformasi mengajar rakyat berani menentang rasuah dengan fakta, bukan melabel lawan sebagai kafir atau munafik tanpa bukti.
Selain itu, beliau memberi jaminan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas menjalankan siasatan tanpa campur tangan politik.
“Kalau ada menteri, timbalan menteri atau sesiapa sahaja dalam kerajaan ini terlibat rasuah, kita tidak akan lindungi. Harta yang dicuri mesti dipulangkan kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan Madani memperkukuh perpaduan nasional, menolak politik kebencian perkauman, serta memastikan pembangunan seimbang di Semenanjung, Sabah dan Sarawak termasuk menaik taraf sekolah daif dan projek asas rakyat.
“Negara ini mesti dipimpin dengan tekad, kerja keras dan amanah, bukan dengan retorik atau kebencian. Malaysia Madani adalah untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua PKR Melaka, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh.



