RMK-12: Unit Khusus Ditubuhkan Untuk  Membasmi Kemiskinan, Rapatkan Jurang Pendapatan – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan memfokuskan kepada isu membasmi jurang kemiskinan dan merapatkan jurang pendapatan dengan menubuhkan Unit khusus pada peringkat Persekutuan dan di pejabat daerah.

Jelasnya, Unit ini akan bertanggungjawab menyelaras pangkalan data secara bersepadu serta semua program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan, sektor korporat dan CSO. Dengan adanya pegawai yang diberi tugas khusus, untuk menguruskan perihal kemiskinan pada peringkat daerah, beliau yakin kemiskinan tegar dapat dibasmi pada tahun 2025.

Usaha yang lebih bersepadu akan dilaksana untuk meningkatkan pendapatan, dan menangani kenaikan kos sara hidup isi rumah B40 serta kumpulan mudah terjejas.

“Isu kemiskinan sangat dekat di hati saya. Dilahir dan membesar daripada keluarga penoreh getah, saya sangat memahami kesusahan dan kepayahan hidup rakyat. Pandemik COVID-19 yang melanda telah meningkatkan kadar kemiskinan, menjejaskan pendapatan individu dan isi rumah, seterusnya menghimpit keluarga kita dalam kemiskinan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, termasuk CSO, badan korporat, orang perseorangan dan majlis agama Islam negeri yang sentiasa prihatin dan menyokong Kerajaan dalam membantu masyarakat yang terkesan sepanjang pandemik.” Katanya ketika membentangkan RMK-12, di Dewan Rakyat, hari ini.

Ujarnya lagi, bagi menangani isu kemiskinan dan kesenjangan pendapatan, kita perlu belajar daripada kejayaan yang dicapai oleh beberapa negara lain. Maka, inisiatif  membasmi kemiskinan tegar untuk memastikan rakyat miskin, termasuk miskin bandar dibantu, melalui pendekatan keseluruhan negara.

Katanya lagi, bantuan bersasar seperti pemberian wang tunai dan perlindungan sosial, akan diteruskan kepada mereka yang layak.

Dalam pada itu, Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar dan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat di luar bandar, dengan kos sebanyak 1.5 bilion ringgit akan diperkukuh bagi meningkatkan kebolehpasaran, kesejahteraan dan kuasa beli keluarga B40.

“Kemiskinan pada hari ini juga dilihat dari pelbagai dimensi selain kewangan. Sehubungan ini, dalam aspek pendidikan, lebih ramai murid daripada keluarga B40 akan diberi keutamaan untuk kemasukan ke sekolah berprestasi tinggi dan pemberian biasiswa. Dalam aspek kesihatan pula, akses kepada penjagaan kesihatan akan diperluas. Isu kekurangan zat dan tumbesaran dalam kalangan kanak-kanak daripada keluarga B40 semakin meningkat. Untuk tujuan itu, isu ini akan ditangani secara komprehensif termasuk melalui makanan berkhasiat.

“Bagi meningkatkan keupayaan, kemahiran dan daya saing mencari pekerjaan golongan M40, program latihan dan latihan kemahiran semula serta aktiviti keusahawanan akan ditingkatkan. Mereka juga akan digalakkan untuk melanggan insurans kesihatan dan pekerjaan pada kadar yang mampu dibayar. Selain itu, kita akan memastikan anak-anak M40 mendapat akses kepada pendidikan berkualiti pada kos yang berpatutan.” Katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri ketika membentangkan RMK-12 sebentar tadi berkata, kerajaan akan memfokuskan Sembilan agenda dalam melaksanakan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi memulih serta menjana semula ekonomi negara dengan kerajaan memperuntukkan RM400 bilion untuk membiayai projek sambungan dan projek baharu di bawah RMK12. -SuaraTV

 

 

 

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat