Lebih 2 Juta Kes Pulih Covid-19 Direkodkan Setakat Ini – Dr Noor Hisham

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jumlah keseluruhan kes sembuh COVID-19 yang direkodkan kini adalah sebanyak 2,005,942 kes sejak pandemik ini melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini memaklumkan daripada angka itu, sebanyak 16,430 kes sembuh dicatatkan dalam tempoh 24 jam lepas.

“Bagi kes baharu, sebanyak 1.9 peratus atau 205 kes daripada 10,959 kes baharu COVID-19 dilaporkan bagi tempoh 24 jam lepas terdiri daripada kategori tiga, empat dan lima.

“Baki 98.1 peratus atau 10,754 kes pula adalah terdiri daripada kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua, bergejala ringan,” katanya.

Kategori tiga adalah mereka yang mempunyai radang paru-paru, empat memerlukan bantuan oksigen dan lima pula memerlukan bantuan pernafasan.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada jumlah kes baharu, 12 adalah kes import melibatkan dua warga tempatan dan 10 bukan warganegara manakala 10,947 kes pula melibatkan penularan dalam negara iaitu 10,150 warganegara dan 797 rakyat asing.

Beliau berkata terdapat 980 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 862 yang disahkan positif COVID-19 manakala 118 lagi adalah disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Katanya, sebanyak 579 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 378 disahkan positif COVID-19 manakala 201 lagi adalah disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Dr Noor Hisham memaklumkan 19 kluster baharu dikesan dengan sembilan daripadanya berkaitan tempat kerja, lapan kluster membabitkan penularan dalam komuniti serta masing-masing satu melibatkan kluster pusat tahanan dan kluster kumpulan berisiko tinggi.

Beliau berkata kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt) pada jangkaan mengikut kes harian semalam untuk seluruh negara ialah 0.92 manakala Pahang mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.02.

“Semua negeri lain mencatatkan Rt di bawah 1.0 iaitu Perak dan Putrajaya masing-masing 0.98, diikuti Kelantan dan Perlis masing-masing 0.97, Terengganu (0.96), Johor (0.94), Sarawak dan Melaka masing-msing 0.92, Pulau Pinang (0.90), Selangor (0.89), Sabah dan Negeri Sembilan masing-masing 0.87, Kedah serta Kuala Lumpur masing-masing 0.85 manakala Labuan (sifar),” katanya.

Dr Noor Hisham berkata data kematian akan dimuat naik dan dipaparkan menerusi laman Github dan laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my pada tengah malam ini. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat