Kebenaran Rentas Negeri Dijangka Bulan Hadapan – Muhyiddin

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Kebenaran rentas negeri dijangka akan dapat dilakukan bulan hadapan (Oktober) bersandarkan kepada data selepas 90 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kemungkinan pada Oktober sama ada pada peringkat awal atau selewat-lewatnya pertengahan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MPN Bilangan 3/2021 di sini hari ini.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Muhyiddin berkata soal pembukaan sempadan negara juga sedang diperhalusi kementerian berkaitan, dan akan dibincangkan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya harap itu akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya selain rentas daerah dan negeri, pembukaan sempadan negara juga penting untuk mempercepatkan proses pemulihan negara.

Beliau berkata perbincangan pembukaan sempadan negara merangkumi cadangan sempadan negara dibuka kepada pelancong, peniaga dan usahawan untuk datang ke Malaysia dan membolehkan rakyat Malaysia melancong ke negara yang menerima kedatangan mereka yang telah lengkap vaksinasi.

“Ini adalah salah satu keputusan yang akan membawa kesan besar kepada negara,” katanya.

Muhyiddin berkata mesyuarat MPN hari ini memberi fokus kepada persiapan bagi pembukaan semula sektor pelajaran.

Beliau berkata, MPN diberi penerangan terperinci mengenai laporan status terkini berkaitan COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan, Pelan Pembukaan dan Pengoperasian Institut Pendidikan Tinggi Sesi Akademik 2021/2022 oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Laporan Penilaian Pembukaan Sekolah oleh Kementerian Pendidikan.

“Mesyuarat mengambil maklum mengenai pembukaan institusi pendidikan tinggi (IPT) secara berperingkat bermula 15 Okt dan pembukaan sekolah secara berperingkat bermula 3 Okt serta SOP yang akan berkuatkuasa demi melindungi warga IPT dan warga sekolah dari jangkitan COVID-19,” katanya.

Muhyiddin berkata mesyuarat hari ini juga meluluskan kertas cadangan untuk menubuhkan Majlis Pemulihan Negeri, yang akan dipengerusikan oleh menteri besar dan ketua menteri.

Katanya Majlis Pemulihan Negeri berperanan untuk memastikan keputusan MPN dilaksanakan di peringkat negeri, memperaku strategi dan inisiatif pemulihan di peringkat negeri dan daerah, dan memantau impak pelaksanaan inisiatif pemulihan di peringkat negeri dan daerah.

Beliau berkata cadangan penubuhan Majlis Pemulihan Negeri dan mekanisme yang berkaitan akan dikemukakan kepada perdana menteri dan Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan persetujuan.

Muhyiddin berkata MPN akan menumpukan kepada pemulihan negara secara menyeluruh melibatkan pelbagai sektor dan kumpulan terkesan.

“Tumpuan juga diberikan kepada bantuan yang boleh disediakan untuk perniagaan, usahawan mikro, kecil dan sederhana untuk bangkit dan meneruskan perniagaan, dan masalah kemiskinan pasca pandemik dalam kalangan penduduk bandar dan luar bandar,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,578FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat